Tuesday, February 09, 2016
Hanya Orang Niat Jahat Dan Sabotaj Sahaja Pada Kerajaan..... Memandang Cadangan Peguam Negara ‘Menggerunkan’
SHAH ALAM : Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk
meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi meningkatkan hukuman terhadap
mereka yang membocorkan rahsia kerajaan, hanya akan memburukkan lagi
imej pihak berkenaan dan BN.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian
Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib
menyifatkan cadangan pindaan akta tersebut sangat menggerunkan.
"Ia akhirnya akan menimbulkan rasa marah rakyat. Cadangan itu harus
diteliti sebaik mungkin oleh kerajaan kerana pihak yang terima kecaman
dan label buruk adalah parti yang memerintah (BN)," katanya.
Menurutnya, pindaan yang memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10
sebatan memperlihatkan negara ini sebagai sebuah negara kuku besi.
Md Shukri berkata, kerajaan perlu menghentikan sebarang tindakan yang
boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam suasana negara masih
belum selesai dibadai polemik isu.
“Kalau diperhatikan, negara kita kini seolah-olah dilanda bah polemik
dan persepsi terhadap imej kerajaan. Saya rasa jalan terbaik yang perlu
diberikan perhatian adalah meredakan bah polemik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Md Shukri turut mempersoalkan tindakan Mohamed Apandi
yang seperti sengaja mahu mempromosikan cadangan tersebut kepada awam.
“Cukuplah sekadar membincangkan idea itu dalam kalangan pentadbir dan
pihak berkaitan, tidak perlu bawa kepada media dan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, tidak dinafikan tindakan membocorkan
rahsia kerajaan atau negara adalah kesalahan serius di sisi
undang-undang serta boleh mengancam keselamatan negara, tetapi
menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup adalah sesuatu yang berat.
“Jika nak ubah, tidak perlu kepada perubahan akta, sebagai contoh etika
kewartawanan dan kebocoran maklumat itu yang perlu diperketatkan,”
katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
berkata, hukuman berat yang dicadangkan dalam pindaan OSA hanya sesuai
dilaksanakan sekiranya kebocoran maklumat yang berlaku mengancam
keselamatan negara.
Menurutnya, tidak adil sekiranya hukuman berat itu dikenakan terhadap
pemberi maklumat dalam kes yang melibatkan kepincangan dan salah guna
kuasa dalam pentadbiran.
“Jika pemberi maklumat (dalam kes ini) dikenakan hukuman berat maka ia
akan menjadi seperti ‘membunuh' pemberi maklumat dan bukan pesalah. Ini
tidak adil.
“Namun, hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan hanya sesuai
dilaksanakan, sekiranya kebocoran maklumat rahsia itu mengancam
keselamatan negara,” katanya.
Menurut Nik Ahmad Kamal, jika ada mekanisme pemberi maklumat yang kukuh
dalam pentadbiran kerajaan yang baik, kebocoran rahsia rasmi tidak akan
berlaku.
Katanya, jika dilihat pada sejarah, kesalahan di bawah OSA tidak banyak melibatkan rahsia yang serius.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment