Tuesday, February 09, 2016
Henti Fitnah Sogok Wang, Laporan Polis Telah Dibuat – Ahmad Bashah
ALOR SETAR, 7 FEB : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md
Hanipah meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran
fitnah mengenai sogokan wang bagi mendapat sokongan dan menurutnya
laporan polis telah dibuat berhubung fitnah itu.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat oleh individu yang didakwa
mengeluarkan kenyataan berhubung sogokan wang itu bagi pihak berkuasa
menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah
itu.
Beliau menegaskan sogokan wang bukan budaya UMNO untuk mendapatkan sokongan pemimpin akar umbi.
Ahmad Bashah berkata demikian kepada pemberita ketika diminta
mengulas dakwaan yang viral dalam laman sosial, kononnya Ketua UMNO
Bahagian dan Ketua Sayap UMNO Bahagian disogok sejumlah wang sebagai
sagu hati bagi menolak kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
sebagai menteri besar.
“Saya minta anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan
Negara ini pada masa depan menghentikan fitnah ini dengan segera …ia
boleh merosakkan segala-galanya.
“Kemelut politik di negeri ini telah selesai dan Menteri Besar baharu
telah dipilih. Apa yang penting kami perlu bergerak ke hadapan untuk
tunaikan janji UMNO semasa pilihan raya umum yang lepas,” katanya ketika
ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Kedah berkata beliau akan berjumpa dengan semua pegawai
kerajaan negeri untuk mendapatkan penerangan berhubung projek dan
program yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Saya mahu dengar penerangan mengenai pelbagai perkara bagi
memudahkan saya untuk teliti dan membuat keputusan. Seperti Discover
Kedah 2016, kami akan teruskan dan mungkin ada sedikit penambahbaikan
untuk program pelancongan tersebut.
“Seperti litar lumba kepada generasi muda, saya akan berbincang
dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk percepatkan
pembinaannya bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Katanya beliau akan meneruskan perancangan yang dibuat oleh Mukhriz
di samping menyusun perancangan baharu untuk kebaikan rakyat negeri ini.
Terdahulu, Ahmad Bashah tiba di bangunan pejabat Menteri Besar Kedah
di Wisma Darul Aman pada kira-kira 7.50 pagi dan mengetip kad perakam
waktu pada kira-kira pukul 7.59 pagi, bagi memulakan tugasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment