Monday, February 01, 2016

Kertas Tandas : Mahfuz Dinasihat 'Jaga Tepi Kain' Parti Sendiri

SHAH ALAM : Tokoh PAS Mahfuz Omar hari ini ditemplak supaya menguruskan kemelut dihadapi partinya sendiri dan jangan ‘menjaga tepi kain’ parti lain.

Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Abdul Syukur berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena itu suka mencampuri urusan parti lain tetapi gagal untuk menguruskan masalah dalam partinya sendiri.

Katanya, Mahfuz sepatutnya melihat kelemahan PAS yang gagal menguruskan kemelut dalamannya sendiri terutama krisis membabitkan syarat Bai'ah talak tiga dan perpecahan yang melahirkan kumpulan serpihan Parti Amanah Negara PAN).

"Saya kira Mahfuz Omar ini buat apa dia mencampur urusan parti lain, dia Mahfuz ni, dia sendiri pun tidak boleh selesaikan parti sendiri.

"PAS pun sudah jadi PAN Rakyat walaupun sudah sumpah bai'ah dan sebagainya," katanya kepada media ketika dihubungi tadi.

Beliau mengulas kenyataan Mahfuz yang mendakwa sebarang akuan bersumpah (SD) yang dipersembahkan bagi menyokong desakan supaya menukar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya setaraf 'kertas tandas'.

Kata Mahfuz, sebarang dokumen Akuan Bersumpah ADUN Umno Kedah yang dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk menunjukkan yang Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN Kedah, adalah suatu penghinaan ke bawah Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Katanya lagi, kertas akuan bersumpah tersebut hanya setaraf 'kertas tandas' kerana diperolehi secara tidak demokratik seperti yang didakwa oleh ADUN Kota Seputih, Datuk Abu Hassan Sarif.

Susulan itu, Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang meminta supaya Mahfuz mencermin diri sendiri sebelum terus mengheret kemelut Menteri Besar Kedah sebagai peluru kepada pentadbiran Perdana Menteri.

"Dia sendiri boleh melihat parti dia sendiri, sumpah dan bai'ah sehingga talak tiga pun dilanggar oleh ahli parti mereka sendiri.

"Jadi untuk itu, saya menasihatkan supaya Mahfuz tidak mencampuri urusan parti Umno atau perkara yang termaktub di bawah Perlembagaan di bawah Perdana Menteri," katanya.

"Yang pertama sekali, dia tidak perlu mencampuri urusan parti Umno atau pun keputusan Presiden Umno, ini menjadi hak mutlak presiden atau perdana menteri untuk menentukan siapa menteri besar.

Kata Syukur lagi, kadang-kala krisis yang berlaku mempunyai hikmahnya sendiri yang mungkin boleh menjadikan kedudukan parti lebih kuat selepas ini. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment