Monday, February 01, 2016

Rakyat Baru Tahu Pelaburan Malaysia Di Luar Negara RM600 Bilion Lepas Isu TPPA

SHAH ALAM : Sebelum isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi kecoh, rakyat Malaysia tidak tahu bahawa pelaburan negara lebih banyak di luar negara berbanding dalam negara, jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Sekarang baru orang tahu pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Petronas, Kumpulan UEM, YTL, kumpulan Genting, YTL Corporation dan macam-macam lagi punyai pelaburan besar di luar negara.

"Nilai pelaburan kita di luar negara adalah RM600 bilion dan pelaburan asing di negara kita adalah RM500 bilion," ujarnya dipetik daripada temubual eksklusifnya bersama akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Pelaburan besar negara ini di luar negara selama ini dilindungi Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara (ISDS).

Justeru, dakwaan pembangkang bahawa mekanisme ISDS dalam TPPA akan merisikokan kedaulatan negara amat tidak masuk akal malah tidak bertepatan dengan fakta, ujar Mustapa.

"Ini termasuk dengan dakwaan kononnya Malaysia akan 'ditelan' oleh syarikat gergasi dengan alasan syarikat tempatan tidak mampu bersaing.

"Kalau kita ini teruk, miskin, bodoh dan bangsat sangat, kenapa pelaburan syarikat kita di luar negara lebih RM600 bilion dan pelaburan asing di negara kita adalah RM500 bilion," soal Mustapa.

Mustafa kemudiannya menceritakan kes TM Malaysia menyaman Kerajaan Ghana melalui ISDS, selepas syarikat itu dinafikan hak pelaburannya.

"Ramai orang tidak tahu. apabila diceritakan tentang pengalaman TM Malaysia, bagaimana ISDS melindungi kepentingan harta Malaysia. Kalau tidak ada mekanisme ini, harta Malaysia akan terhapus dan tidak akan diberikan pampasan yang setimpal. ISDS ini bukan benda baru dan TM telah diselamatkan melaluinya.

"ISDS bukan untuk syarikat-syarikat asing disini menyaman Kerajaan Malaysia tetapi syarikat Malaysia juga kalau dianiaya atau harta dirampas, dengan ISDS mereka juga boleh menyaman kerajaan asing," jelasnya.

Pada 2004, TM Malaysia membeli saham Ghana Telekom dan mendapat tender untuk lima tahun. Selepas lima tahun TM Malsyai sepatutnya berhak mendapat kontrak untuk jangka masa panjang, namun Ghana memotong perjanjian itu menyebabkan TM Malaysia tidak boleh mendapat tender.

TM Malaysia akhirnya membawa kes itu ke mahkamah antarabangsa dan keputusan penghakiman memihak kepada TM Malaysia.

Ghana kemudiannya diarahkan membayar RM190 juta (USD50juta) kepada TM Malaysia. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment