Wednesday, February 10, 2016

“Kita Kena Taat Kepada ‘Boss Of The Day'” – Norsabrina

image
SHAH ALAM : Exco Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhubung pemilihan barisan exco kerajaan negeri itu, yang dijangka akan diumumkan minggu depan.

“Itu kita serahkan kepada kebijaksanaan menteri besar. Saya serahkan kepada kebijaksanaan beliau,” katanya kepada sebuah portal semalam.

ADUN Bandar Baharu itu berkata demikian sebagai maklum balas ketika ditanya mengenai kemungkinan namanya tidak dikekalkan dalam senarai yang akan diumumkan Ahmad Bashah kelak.

Sebelum ini terdapatnya media melaporkan bahawa, nama Norsabrina merupakan antara yang berkemungkinan ‘digugurkan’ daripada barisan exco, selain nama Datuk Suraya Yacob (Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat) dan Aminuddin Omar (Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan).

Norsabrina merupakan Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan mantan menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang meletakkan jawatan pada 3 Februari lalu.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa barisan exco yang lama akan dikekalkan demi menjaga kelangsungan beberapa projek di bawah portfolio masing-masing.

Malah sehingga hari ini katanya kesemua Exco tetap menjalankan tugas seperti biasa sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh menteri besar.

“Kita faham akan keadaan untuk menteri besar yang baru ini akan mencadangkan senarai exco untuk mengangkat sumpah semula kepada pihak atasan dan perlu mendapat perkenan jemaah (Pemangku Sultan Kedah).

“Kita akan terus menjalankan tugas, sekiranya saya masih di dalam senarai tersebut, (akan) memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan yang sekarang ini,” ujarnya.

Tambahnya, adalah menjadi kewajipan untuk setiap anggota kerajaan negeri memberikan komitmen dan patuh kepada ketua kerajaan negeri tanpa mengira siapa jua yang menduduki jawatan itu.

“Kita kena patuh dan taat kepada ‘boss of the day’. Siapa yang ketika ini boss kita, kita kena sokong, taat dan patuh,” katanya sambil menyifatkan apa jua isu yang berlaku dalam kerajaan negeri sebelum ini sudah tidak berbangkit.

Terdahulu semalam Ahmad Bashah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Putrajaya bagi membincangkan senarai anggota exco yang baru negeri itu.

ADUN Bakar Bata itu juga berkata beliau sudah mempunyai senarai cadangan barisan exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, cadangan tersebut akan dikemukakan terlebih dahulu kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk diperkenankan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment