PULAU PINANG : Melucukan dan kontroversi.
Itulah yang disimpulkan banyak pihak berhubung projek lorong basikal
yang dilaksanakan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang di sekitar negeri ini.
Antara laluan basikal yang dibina di atas laluan pejalan kaki di
Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang yang didakwa menyukarkan dan
membahayakan keselamatan pengguna.
Melucukan kerana lorong basikal itu yang dicat berwarna hijau berkongsi dengan laluan pejalan kaki.
Dengan keluasan yang sangat terhad, lorong itu sangat jelas tidak
memberikan kelebihan atau keselesaan sama ada kepada pejalan kaki atau
penunggang basikal.
Malah, perkongsian laluan itu juga boleh mengundang bahaya dan
meningkatkan risiko kemalangan kepada kedua-dua golongan pengguna
berkenaan.
Kontroversi pula kerana lorong basikal itu didakwa menelan perbelanjaan yang sangat besar iaitu sehingga RM30 juta.
Sedangkan seperti yang dibandingkan banyak pihak, kos bagi pembinaan
lorong itu yang sepanjang 12.5 kilometer di Amerika Syarikat (AS) hanya
RM6 juta.
Perbezaan kos yang amat ketara itu sekali gus menyebabkan lorong
basikal itu yang dibina di kebanyakan kawasan warisan di negeri ini
diberi jolokan lorong basikal paling mewah di dunia.
Lebih menimbulkan persoalan apabila pembinaannya juga didakwa
dipertikai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sendiri yang
mengakuinya sebagai satu kesilapan.
Seperti dipetik laporan portal berita, Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Infrastruktur dan Lalulintas MBPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata,
perkongsian laluan pejalan kaki dan lorong basikal itu baru di peringkat
perbincangan dan belum diputuskan.
Menurutnya, perkongsian laluan itu hanya boleh dibuat jika kaki lima
sedia ada cukup luas untuk pejalan kaki dan penunggang basikal seperti
di Straits Quay dan Gurney Drive di sini.
Tetapi apa yang dapat dilihat ketika ini, perkongsian lorong itu
turut dilaksana di kawasan yang padat dengan orang ramai di sekitar
Georgetown seperti di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Sungai
Pinang.
Turut melahirkan rasa hairan dengan pelaksanaan projek itu ialah
Setiausaha Pemuda Gerakan negeri, Yi Ooi Zhi yang mempersoalkan
bagaimana Ahli Majlis MBPP sendiri boleh terlepas pandang mengenainya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan
sama ada Ahli Majlis MBPP yang sebahagiannya merupakan ahli pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) benar-benar mempunyai kuasa dan suara atau hanya
dilantik untuk sekadar memenuhi syarat.
Katanya, perkara sama juga pernah berlaku dalam isu perobohan
bangunan warisan di 218 Macalister Road di sini sebelum ini, yang turut
mendapat bantahan banyak pihak yang mana didakwa turut di luar
pengetahuan Ahli Majlis MBPP.
“Apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah Ahli Majlis MBPP langsung
tidak tahu-menahu mengenai apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan
negeri.
“Keadaan ini menimbulkan tanda tanya tentang pendirian Kerajaan DAP
Pulau Pinang sebelum ini yang kononnya sangat memerlukan pandangan pihak
ketiga dalam pengurusan kerajaan negeri,” kata beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment