Wednesday, February 10, 2016

Harap Ahmad Bashah Tidak Ulangi Kesilapan MB Sebelumnya…

EDITOR MENULIS...
10 FEBRUARI 2016
Ahmad-Bashah-kedah
Kira-kira seminggu sudah Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Saya sendiri mengikuti perkembangan senario politik di Kedah secara konsisten sejak ‘sidang akhbar bersejarah’ itu hingga ke hari ini.

Kutukan dan hinaan terhadap Ahmad Bashah masih lagi kedengaran hingga kini. Biar dijelas bagaimana jelas pun sekali, orang yang ‘marah’ atas faktor ‘kurang faham’ mereka tidak mungkin akan terima. Emosi lebih dari kewarasan akal…

Saya melihat, Ahmad Bashah terbeban dengan 1,001 tugas yang terbiar sebelum ini. 

Banyak yang beliau perlu lakukan. Ibaratnya, jika di pejabat, bertapuk-tapuk fail-fail yang berusia hampir 3 tahun di atas meja beliau. Pejabat yang ‘berhabuk’, perlu ‘hidup’ semula.

Sejak dilantik sebagai Menteri Besar, saya mendengar bagaimana beliau ‘dihurung’. Ada yang awal-awal pagi sudah terpacak di depan rumah, ada yang terpaksa dilayan sampai larut malam. Hinggakan hendak tukar baju pun perlu ‘minta izin tunggu sebentar’?

Saya difahamkan ramai sekali yang mengelilingi Ahmad Bashah. Maklumlah, jawatan-jawatan penting belum terisi. Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Pegawai Khas dan macam-macam lagi jawatan belum diisi kekosongannya. Ramai yang dalam hatinya teringin nak ‘apply’…

Mungkin mereka merasakan mereka ‘berjasa’ pada parti dan selalu membantu Ahmad Bashah selama ini. Ketika dihentam di media sosial, mereka-mereka inilah kononnya yang ‘berperang’ mempertahankan Ahmad Bashah. Soalnya, benarkah mereka buat begitu?

Saya juga difahamkan bahawa antara faktor kegagalan Mukhriz di Kedah sebenarnya bukanlah berpunca 100% dari beliau sendiri. Boleh dikatakan hampir 70% kegagalan Mukhriz adalah disebabkan mereka-mereka yang ada disekeliling beliau.

Apakah perkara yang sama akan berlaku terhadap Ahmad Bashah? Mungkin ya, mungkin tidak. Beliau lebih berpengalaman dalam memahami budaya politik Kedah yang dikatakan unik. Namun gajah yang besar juga boleh tersandung jatuh terduduk jika terkait akar disekelilingnya, bukan?

Justeru itu, adalah sangat penting bagi Ahmad Bashah untuk memilih mereka yang sehaluan dengan parti dan semangat membantu mempertahankan kuasa pentadbiran kerajaan negeri untuk bekerja bersama beliau hingga PRU ke-14 nanti. Tersilap pilih, mungkin buruk padahnya…

Apapun, saya dan kita semua serahkan sahaja kepada Ahmad Bashah. Beliau yang mengemudi negeri Kedah sekarang. Mandat tersebut perlu diterjemahkan pada PRU ke-14 nanti. Jika pucuk pimpinan UMNO yakin pada kemampuan beliau, kita yang di bawah perlu juga beri keyakinan yang sama.

Benarlah Ahmad Bashah tidak sesempurna Nabi. Namun kelemahan yang ada jika dibantu, pasti akan berubah hasilnya. Kelebihan pula jika dibantu, sudah tentu akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Hanya keikhlasan untuk parti sahaja yang penting…

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi3eaxq7E0OQoeKQ9-MOGfkTMghqwdhqZ5qYw9tv0vjm0S0mEwZ_HegI-FMxNZMzg8CSIAmrZn-OAO4ts0erhf54nOFJf55xqq6a4hhIboXyBYiwCIXG_H5YOqqeV2HnhA5ihUdSOXbT9Y/s320/Acoy+Posterize+2.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment