Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memulakan
serangan pertama ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
selepas seminggu beliau diarah meletak jawatan.
Mukhriz menggunakan ‘senjata’ sama yang sering digunakan bapanya iaitu
mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi memburuk-burukkan
kerajaan iaitu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mukhriz turut dilihat berusaha menyeret institusi diraja dalam
percaturan politiknya sekali lagi selepas gagal mempergunakan institusi
itu untuk mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah sebelum
ini.
“Saya dengan penuh hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang
DiPertua-Yang DiPertua Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor
Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai
siasatan-siasatan mereka mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa
melindungi mana-mana pihak.
“Jika ini tidak dapat dilakukan atau berlaku campur tangan oleh
pihak yang disiasat atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai,
maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat
mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mukhriz sebelum ini enggan meletak jawatan kerana mendakwa mendapat
sokongan institusi diraja Kedah yang kononnya turut murka dengan UMNO
negeri itu kerana mahu menggantikan beliau dengan orang lain.
Keputusan Majlis Jemaah Pemangku Diraja Kedah bagaimanapun memaklumkan,
Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kedah maka beliau diminta meletak jawatan.
Mukhriz yang berang dengan keputusan itu kemudiannya mendakwa Najib
pernah memaklumkan kemarahan beliau kepadanya kerana membuat kenyataan
terbuka mengenai 1MDB dalam satu majlis di ibu negara pada Disember
2015.
“Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang
menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya mengakibatkan saya
dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment