Tuesday, February 09, 2016
Muzakarah Dr Asri, Zamihan Lebih 'Molek' Tertutup - Asyraf Wajdi
SHAH ALAM : Muzakarah yang bakal mempertemukan Mufti Perlis, Datuk Dr
Mohd Asri Zainul Abidin dengan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal
Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin sewajarnya diadakan secara tertutup
bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki berkata, ini kerana ia dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah dan
mudarat melibatkan orang awam yang mungkin sukar memahami dan menerima
perbezaan antara dua fahaman yang ditegakkan oleh dua pemimpin agama
itu.
Malah ujarnya lagi, kehadiran peserta pada program itu tidak perlu
dibuka kepada orang ramai, sebaliknya hanya perlu dibuka kepada golongan
ulama dan cendekiawan sahaja.
"Pandangan saya lebih molek program ini diadakan secara muzakarah mahabbah atau perbincangan harmoni secara tertutup.
"Polemik yang tercetus seolah-olah program ini bagaikan suatu pentas
perdebatan untuk menentukan siapa juara hujah juga hanya akan
mengelirukan bahkan memberikan gambaran tidak baik terhadap ulama dan
Islam secara umumnya," katanya dalam satu kenyataan.
Debat tersebut yang bertajuk 'Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu
Perbincangan' dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Shahidan Kassim, dijangka diadakan pada 10 Februari ini, bertempat
di Auditorium ICU, Jabatan Perdana Menteri.
Menerusi surat jemputan yang dihantar kepada panel debat itu, ia
menjelaskan objektif penganjurannya adalah untuk menolak budaya label
melabel dan menggalakkan perbincangan ilmiah.
Ia juga bertujuan membersihkan salah faham termasuk menerangkan perkara
sebenar agar tindakan selepas ini bukan berdasarkan sangkaan buruk.
Beliau berkata, perbezaan ideologi dan fikrah tidak akan mungkin dapat
diselesaikan dalam satu majlis apatah lagi jika dilaksanakan secara
terbuka.
"Lebih membimbangkan jika kalangan pengikut yang taksub, tidak mampu
menerima pandangan berbeza atau bersetuju untuk tidak bersetuju.
"Sebab itulah bagi saya adalah lebih wajar forum seperti ini diadakan
secara tertutup dengan dihadiri golongan ulama, ahli ilmu dan
cendekiawan dengan harmoni dan penuh berlapang dada," katanya lagi.
Tambahnya, program wacana yang dirancang mestilah bersifat mendidik umat
dan masyarakat untuk belajar memahami perbezaan yang ada dan bersedia
bertoleransi menerima pandangan berbeza.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment