Wednesday, February 10, 2016
Pergilah 7,828…, Jangan Lagi Kembali
Beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina,
kita sedikit tersentak dengan pendedahan Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong
Kian Ming.
Kata Kian Ming, kira-kira 7,828 individu yang merupakan rakyat
Malaysia telah melucutkan kerakyatan mereka untuk menjadi warga negara
Singapura sejak kebelakangan ini.
Dia mendakwa, jumlah terbesar bekas warganegara Malaysia dalam
lingkungan umur 30 hingga 50 tahun itu ialah 36.6 peratus dari Johor,
diikuti 19.5 peratus (Perak), Selangor (9.4 peratus), Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur (6.7 peratus), Melaka (5.6 peratus), Pulau
Pinang (5.4 peratus) dan Negeri Sembilan (5.3 peratus).
Majoriti daripada individu berkenaan adalah kaum Cina. Kian Ming menyifatkan insiden itu sebagai ‘menyedihkan’.
Namun, bagi kita, tiada apa yang perlu disedihkan, walaupun Ahli
Parlimen DAP itu menyifatkan ia ‘suatu kehilangan tenaga berkemahiran
tinggi dan profesional’.
Dalam keadaan ekonomi sekarang dengan harga minyak dan nilai matawang
menyusut teruk, memang sukar menjalani kehidupan kalau ‘seseorang itu
memang sudah senang’ sebelumnya. Tetapi tidaklah sehingga ke tahap
melepaskan taraf warganegara.
Cuma yang kita cukup sedih ialah apabila alasan mereka ini melucutkan
kewarganegaraan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, seperti didakwa
Kian Ming, kerana menganggap republik itu negara yang lebih
menguntungkan.
Biarkanlah mereka ini pergi. Masih ramai lagi profesional kita dalam
kalangan 30 juta rakyat Malaysia ini yang komited dan mahu menyumbang
tenaga kepada negara tercinta ini.
Apabila terbaca pendedahan Kian Ming ini semalam, lantas penulis
teringat kepada rakan Kian Ming iaitu Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik
pada tahun lepas yang terhegeh-hegeh mendakwa diri sebagai ‘pejuang’
dengan mendakwa kononnya sebanyak 1,000 pemegang pasport Kerakyatan Luar
Negara British (BOC) telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.
Isu pemegang pasport BOC itu timbul apabila United Kingdom (UK)
meminda undang-undang kerakyatannya apabila negara tersebut tidak lagi
mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan untuk pemegang pasport BOC
yang melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia selepas 4 Julai
2002.
Pemegang pasport BOC ini dulunya sanggup mengerat pasport Malaysia
seperti dilaporkan oleh The Telegraph – prosedur standard apabila
seseorang melepaskan kerakyatan mereka.
Namun, kita menarik nafas lega dan bersyukur kerana Menteri Dalam
Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyangkal keras
dakwaan Wei Aik itu.
Tegas Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri, pemegang
pasport BOC yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia tidak akan
memperoleh semula kerakyatan mereka secara automatik sebaliknya perlu
melakukan permohonan seperti warga asing lain.
Taraf kewarganegaraan itu, kata beliau lagi, tidak akan diberikan
secara mudah kerana terdapat individu yang mengoyakkan pasport Malaysia
atas rasa benci malahan ada ‘menikam’ Malaysia setelah mereka menolak
kerakyatan negara ini.
Golongan yang melepaskan taraf kerakyatan biasanya perlu menunggu
selama 17 tahun selain lulus dalam ujian kemahiran Bahasa Melayu jika
mahu mendapat semula identiti sebagai rakyat negara ini.
Kepada 7,828 orang tadi yang didedahkan oleh Kian Ming, mereka harus
ingat satu perkara ini – rakyat Malaysia yang telah melucutkan
kewarganegaraan tidak akan mudah mendapat kembali taraf kewarganegaraan
itu. Ini selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen
1963.
Bagi mereka ini, ‘tiada maaf bagimu,’ kecuali mengikut Peraturan 16A sebagaimana yang ada dalam Peraturan Imigresen 1963.
Mungkin Kian Ming ‘perlu belajar’ sesuatu dari Wei Aik untuk
menguruskan ‘pelaku-pelaku’ pelucut taraf kewarganegaraan Malaysia ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment