Orang ramai mula membanjiri kaunter Ibu Pejabat
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Jalan Tun Razak untuk mengemas kini
akaun mereka selepas pengumuman mengenai kadar dividen dibuat pada 4
Februari lalu.
Pengurus Besar Khidmat Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pendeposit
dan Operasi Tabung Haji, Mohammad Saimi Mat Som berkata, berikutan
sambutan menggalakkan itu, pihaknya menyediakan empat kaunter tambahan
bagi melicinkan proses di 12 kaunter sedia ada.
“Orang ramai juga boleh mengemas kini akaun mereka di mana-mana Bank
Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia
Bhd. (Bank Rakyat) serta melalui sistem dalam talian iaitu ‘e-thdijari’.
“Selain itu, kami juga ada membuka kaunter semakan yang beroperasi
dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari di Pusat Transformasi
Bandar (UTC) Melaka, Johor, Kuching, Perak, Pahang dan Kedah,” katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Hari ini, seramai 8.85 juta pendeposit Tabung Haji sudah boleh mengemas
kini akaun mereka sempena pengumuman bonus sebanyak lima peratus bagi
tahun kewangan 2015.
Tabung Haji turut memberi tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus
kepada 8.23 juta pendeposit atau 93 peratus daripada jumlah keseluruhan
pendeposit yang masih belum menunaikan haji.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Zainol Aznan Hashim, 70,
berkata, walaupun dividen yang diterima pada tahun ini lebih sedikit
berbanding tahun sebelumnya, dia masih berpuas hati dengan jumlah yang
diterima.
“Kita juga harapkan Tabung Haji akan lebih kukuh selain mampu
memberi faedah yang lebih kepada pendepositnya pada masa akan datang,”
katanya yang ditemui ketika menunggu giliran mengemas kini akaun.
Suri rumah, Asnas Mohd. Diah, 62, pula berkata, keyakinan terhadap
kredibiliti Tabung Haji menguruskan kewangan pendepositnya masih
relevan sehingga kini walaupun mengakui kurang berpuas hati dengan
dividen yang diterimanya.
“Ini kerana, Tabung Haji adalah antara syarikat pelaburan Islamik yang mendapat jaminan daripada kerajaan,” kata beliau.
Ditanya tentang potensi Tabung Haji pada masa akan datang, Nety Hana
Bostamam, 31, yang merupakan juruukur bahan menyifatkan peranan mereka
menguruskan pelaburan untuk kebanyakan orang Islam perlu diteruskan
walau apapun yang berlaku.
Katanya, selain memudahkan orang ramai dalam menguruskan zakat harta
dan pendapatan, Tabung Haji juga perlu menjanjikan perkhidmatan yang
meyakinkan kepada orang Islam.
“Peranan sewajarnya perlu diambil bagi mendapatkan semula kepercayaan
orang ramai berikutan khabar angin yang tersebar di media sosial
mengenainya baru-baru ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment