Thursday, February 18, 2016

“Saya Alu-alukan Sebarang Siasatan Terhadap Diri Saya” – Annuar Musa

KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap dirinya berhubung dakwaan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia, Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa beliau menyebarkan maklumat palsu melalui akaun facebook sehingga menyebabkan laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Menurut beliau, dakwaan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah yang tersiar di sebuah lama portal berita pro pembangkang itu seolah-olah memperlihatkan bahawa wujudnya perencanaan dalam isu ini, apabila Datuk Mat Zain mendakwa beliau telah menghasut serta membantu pengadu-pengadu yang membuat laporan polis terhadap mantan Perdana Menteri itu.
DSC_7551slider 
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mat Zain kerana mencadangkan agar saya disiasat. Saya sangat-sangat mengalu-alukannya. Bagi saya, baguslah kalau kita ingin menyiasat dulu sebab dalam Islam pun, kalau kita menerima berita dari orang-orang fasik, maka hendaklah kita siasat dulu.

“Jadi kalau beliau merasakan saya menulis sesuatu yang direncanakan untuk mengenakan Tun Mahathir, maka siasatlah saya. Sebenarnya, saya suka apabila bangsa Malaysia di negara ini mempunyai budaya suka menyiasat terlebih dulu sebarang info yang sampai kepada mereka.

“Apa yang saya khuatir ialah tidak wujudnya budaya menyiasat dalam masyarakat kita. Dialah yang menjadi pendakwa raya, dialah yang menjadi juri dan dia jugalah yang menjadi hakim. Ini lebih merbahaya.

“Jadi saya sangat mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap diri saya berkaitan dengan status facebook saya itu takut-takut saya ada terlibat di dalam sebarang konspirasi dan sebagainya,” ujarnya kepada media di sini hari ini.

Berhubung dengan status facebook tersebut, Annuar menjelaskan bahawa  Tun Mahathir menulis di dalam blognya merujuk kepada kenyataan facebooknya itu menggambarkan seolah-olah ada perancangan untuk menangkap beliau.

“Di sini saya nak jelaskan perkara sebenar berhubung dakwaan beliau itu. Sebelum saya menulis di dalam status facebook, ada seorang  kawan saya meminta saya membaca tulisan Tun Mahathir melalui blog beliau ketika saya sedang bercuti  dengan keluarga saya di Krabi.

“Apabila saya membaca tulisan beliau, maka saya terpanggil untuk cuba menyelami apa sebenarnya yang berada di dalam minda Tun Mahathir. Kerana saya tahu Tun Mahathir bukan seorang ahli politik yang biasa.

“Lalu saya mengulas tulisan Tun Mahathir itu dan memuat naikkan pada status facebook saya, di mana dalam pemerhatian dan pemahaman saya, tulisan beliau itu hanyalah satu provokasi supaya beliau disiasat oleh polis. Dengan cara itu, beliau akan mendapat lebih banyak simpati dari rakyat di negara ini.

“Saya menulis status itu ketika berada di dalam bas di Krabi dan hanya merujuk tulisan saya itu kepada seorang rakan yang merupakan pengamal undang-undang, dan rakan saya itu pula langsung tidak terlibat di dalam dunia politik. Setelah mendapatkan pandangan rakan saya itu, maka saya pun memuat naikkan tulisan saya ke facebook,” ujarnya.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa apa yang ditulis itu dan dimuat naikkan di status facebook beliau itu tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak atau mana-mana ahli politik, jauh sekali dengan perdana menteri.

“Jadi sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu menjalankan siasatan berhubung dengan status facebook maka saya  sangat mengalu-alukan siasatan,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment