Monday, February 01, 2016

Tindakan Tegas Terhadap Individu Buat Panggilan, Ancaman Palsu – KPN

http://www.ismaweb.net/wp-content/uploads/2016/01/8cb9.jpeg
SUNGAI BULOH : Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak tertentu yang cuba mencetuskan keresahan dengan menyebar maklumat dan membuat ancaman palsu menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan suasana panik kepada orang awam.

“Panggilan-panggilan seperti ini bukanlah sesuatu bahan jenaka yang boleh dibuat main kerana ia merupakan perkara yang serius.

“Kami memandang berat setiap panggilan atau ancaman yang diterima walaupun ia panggilan palsu sekalipun,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 8/2016 sempena Tahun Baharu Cina di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas beberapa insiden ancaman bom yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah panggilan palsu yang diterima polis sehingga kini, namun berkata keadaan masih terkawal.

Sebelum ini, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamed Fuzi Harun berkata polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mereka yang membuat panggilan dan ancaman palsu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment