Tuesday, February 09, 2016
TPPA Tetap Dahulukan Rakyat, Agenda Bumiputera Kini Diiktiraf Dunia
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa kerajaan
sentiasa mendahulukan rakyat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA).
Tegasnya ini dapat dilihat daripada usaha kerajaan mengadakan rundingan
supaya agenda Bumiputra dimasukkan dalam TPPA, dan ia berjaya berbuat
demikian.
“Ia sekarang bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional – ia diiktiraf
di peringkat antarabangsa dan dilindungi. Ini menunjukkan bahawa
Malaysia telah memperjuangkan dan memperoleh manfaat besar buat rakyat.
“Kita komited untuk melindungi kepentingan dan hak kedaulatan rakyat
kita, dan membantu mereka untuk menjadi lebih kuat dalam apa yang
disifatkan sebagai ekonomi global saling berkaitan,” kata Najib dalam
blog beliau NajibRazak.com.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengambil pendekatan yang telus
dan demokratik berhubung semua perkara yang berkaitan TPPA.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perundingan demi perundingan
diadakan dengan rakyat, pemegang utama kepentingan ekonomi, penggubal
dasar dan pakar-pakar daripada pelbagai bidang menerusi fasa rundingan
dan sebelum menandatangani TPPA.
“Kita telah berunding dan menandatangani banyak perjanjian perdagangan
serantau dan dua hala demi kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat.
“Perjanjian-perjanjian ini memainkan peranan penting ke arah mewujudkan
persekitaran yang lebih kompetitif, membolehkan penyediaan perkhidmatan
yang lebih besar, yang memberi manfaat kepada warganegara sebagai
individu selain perniagaan – baik yang besar mahu pun yang kecil. TPPA
tidak terkecuali,” kata beliau.
Bagaimanapun, Najib berkata ia bukan satu laluan yang mudah kerana
pelbagai kritikan dilemparkan kepada kerajaan yang jelas bermotifkan
politik dan dipenuhi emosi.
Malaysia dan 11 negara lain memeterai TPPA di Auckland, New Zealand pada
Khamis, yang bakal memperluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan
menggalakkan perdagangan bebas.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed
menandatangani perjanjian komprehensif abad ke-21 itu bagi pihak
Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada produk keluaran dalam
negara kasar global bernilai US$30 trilion.
Dua belas negara berkenaan ialah New Zealand, Australia, Chile, Mexico,
Jepun, Peru, Kanada, Vietnam, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan
Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment