Tuesday, February 09, 2016
UMNO Tumpu Pemberian Bantuan Pasca Banjir Terutama Keperluan Persekolahan
ALOR GAJAH : UMNO akan menumpukan pemberian bantuan pasca
banjir kepada mangsa yang terlibat terutamanya keperluan persekolahan
seperti pakaian seragam sekolah, buku dan alat tulis.
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata
UMNO belum menetapkan jumlah bantuan yang akan diberi dan akan
mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat terlebih dahulu bagi
mengetahui keperluan secara spesifik.
Katanya mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta
benda semasa bencana itu amat memerlukan bantuan untuk meneruskan
kehidupan seharian mereka.
“Kami akan dapatkan data lengkap mangsa banjir terlebih dahulu
kemudian segera salurkan bantuan, kami tidak mahu bantuan diberikan
bertindih dengan pihak lain atau beri bantuan yang tidak diperlukan.
“Laporan apa yang perlu dibantu akan dikemukakan kepada Presiden UMNO
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris
Haron malah kami juga akan usulkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat
pemindahan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang
dilanda banjir di sini, hari ini.
Sebanyak 3,092 orang daripada 670 keluarga dipindahkan di Melaka
sehingga 12 tengah hari ini akibat bencana banjir yang melanda sejak
semalam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment