Friday, February 12, 2016
Zahid Umum Penubuhan Majlis Halal Malaysia... Ulas Isu 1.5 Juta Pekerja Bangladesh
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Halal dibubarkan dan digantikan
dengan Majlis Halal Malaysia (MHM) berkuatkuasa Khamis, kata Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya serentak dengan itu bahagian bahagian hab halal akan diletakkan
di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana
jabatan itu akan memberi tumpuan kepada pensijilan, tadbir urus dan
soal-soal berkaitan dengan syariah.
Selain pensijilan halal domestik, JAKIM juga akan melaksanakan
pengiktirafan terhadap badan pensijilan luar negara bagi memastikan
bahan mentah dan produk import yang dipasarkan di Malaysia diyakini
status halalnya.
Manakala Halal Industry Development Corporation (HDC) hanya menumpukan
kepada memperkembangkan industri halal dan memperkasakan industri halal
di peringkat antarabangsa.
"Badan-badan yang terdapat dalam pelbagai agensi yang memainkan peranan
penting dalam memperkasakan industri halal akan disatukan di bawah MHM,"
katanya pada sidang media di Putrajaya, Khamis.
Zahid berkata, gabungan peranan antara agensi ini mampu memperkasakan
ekosiatem halal dan boleh membawa Malaysia mencapai matlamat sebagai
peneraju halal global menjelang 2020.
Katanya lagi, satu akta khusus mengenai MHM akan disediakan oleh JAKIM
dan MITI. Pembentangan akta berkenaan di Dewan Rakyat akan dibuat
selepas Jabatan Peguam Negara memuktamadkan akta itu yang diderafkan
oleh JAKIM dan MITI.
Terdahulu daripada itu Timbalan Perdana Menteri telah mengadakan
mesyuarat Majlis Perundingan Islam yang disertai 87 cendekiawan dan
aktivis Islam serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mencari
titik persamaan dan mengetepikan titik perbezaan di dalam isu-isu
berkaitan Islam.
"Kami telah membentuk tujuh kluster dan mereka akan mengadakan Istiqma
bagi berbincang lanjut mengenai apa yang telah dipersetujui," katanya.
Zahid turut mengumumkan hasil perbincangan kabinet pada Rabu lalu
mengenai pekerja asing di mana antara isu yang dibangkitkan ialah
mengenai levi dan pengajian Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) di Malaysia.
Turut dibincangkan katanya ialah mengenai Perjanjian Persefahaman (MoU)
di antara Malaysia dan Bangladesh yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekerja asing
yang tidak mempunyai dokumen dan yang telah melepasi tempoh permit
kerja.
"NGO dan dewan-dewan perniagaan harus mencari langkah jangkapanjang bagi
menentukan rakyat Malaysia diberikan keutamaan dalam memberikan peluang
pekerjaan.
"Mereka juga perlu mencari jalan supaya latihan terus diberikan untuk
menarik minat rakyat tempatan menceburi sektor yang selama ini dikuasai
pekerja asing.
"Sistem automasi juga hendaklah dilakukan untuk sektor tertentu agar
kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan," katanya.
Mengulas angka 1.5 juta pekerja asing yang mendapat liputan meluas di
media, Zahid menjelaskan bahawa angka itu bukan jumlah warga Bangladesh
yang dibawa masuk oleh Kerajaan ke negara ini.
Katanya ia adalah jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan Kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan.
"Ia adalah permintaan industri, persatuan dan dewan perniagaan. Kerajaan
menerusi Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen dan Jabatan
Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya memenuhi kehendak dan
permintaan pasaran sahaja.
"Dalam hal ini saya mengalu-alukan perbezaan pendapat oleh dewan
perniagaan dan NGO tetapi semua pihak hendaklah bekerjasama dengan
Kerajaan agar kebergantungan kepada pekerja asing ini dapat
dikurangkan," katanya.
Zahid turut menggesa majikan yang bakal mengambil pekerja asing supaya
menyediakan latihan di dalam bidang yang akan diceburi, latihan silang
budaya serta latihan perundangan dan tata etika kehidupan di Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment