Friday, February 12, 2016
Peguam Negara Akan Kemuka Bantahan Terhadap Permohonan Khairuddin
KUALA LUMPUR : Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengemukakan
bantahan terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan
bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu
Hassan.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu adalah bagi mencabar
keputusan Mohamed Apandi yang memutuskan bahawa tiada apa-apa kesalahan
dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana
RM2.6 bilion, penyalahgunaan kuasa dan kertas siasatan SRC
International.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang
mewakili Mohamed Apandi selaku responden kepada pemberita selepas kes
disebut dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor
Hasniah Ab Razak hari ini dengan dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri
Abdulla yang mewakili Khairuddin selaku pemohon.
Shamsul berkata pihaknya akan memfailkan bantahan itu pada 3 Mac ini.
Sementara itu, Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 18 Mac ini
untuk mendengar permohonan Khairuddin bagi mendapatkan kebenaran semakan
kehakiman dan mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan
hujahan masing-masing pada 3 Mac ini.
Pada 3 Februari lepas, Khairuddin memohon perintah mahkamah untuk
membatalkan keputusan yang dibuat Mohamed Apandi pada 26 Januari lepas yang
memutuskan bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Najib
berhubung tiga kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment