Wednesday, April 08, 2015

“Dalang Pembunuhan Altantuya Sudah Didakwa – AG”

8 April 2015, Rencana EDITOR
Semalam saya bermimpi menjadi Peguam Negara dan membuat kenyataan di bawah bagi menjawab spekulasi mengenai pembunuhan Altantuya yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad.
Adalah dimaklumkan Pihak Polis telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, seorang gadis dari Mongolia dan mendapati tiga individu terbabit. Mereka ialah Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.
http://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2013/08/altantuya.jpg
Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), telah dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan Altantuya. 

Namun pada 31 Okt tahun 2008, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin memerintahkan agar Abdul Razak, yang juga penganalisis politik, dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Kegagalan kami mengemukakan fakta yang kukuh ialah kerana mereka yang membunuh tidak pernah mengakui mereka membunuh apatah lagi menerima arahan untuk membunuh.
Sungguhpun Jabatan Peguam Negara percaya Razak Baginda terbabit dalam dalam kes ini, namun Mahkamah mendapati bukti yang ada tidak mencukupi untuk mensabitkan kesalahan.

DSP Musa Safri

Terdapat pertanyaan kenapa pendakwaraya tidak memanggil DSP Musa Safri sedangkan Razak Baginda meminta pertolongan beliau untuk mengawal keselamatan rumah beliau dari gangguan Altantuya. 

DSP Musa Safri menjadi fokus kerana beliau merupakan pegawai Polis yang menjadi Juruiring atau ADC kepada Mohd Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Beliau tidak dipanggil Pendakwa raya kerana tiada keperluan untuk mengukuhkan bukti. Peranan DSP Musa hanyalah setakat meminta dibantu kawannya, Razak Baginda, yang berhadapan dengan perselihan dengan Altantuya.

Bagaimanapun sekiranya DSP Musa dianggap penting, Peguam bela tertuduh boleh sahaja memanggil saksi terbabit untuk memberi keterangan semasa kedua-dua mereka dipanggil membela diri. Ini tidak dilakukan oleh Peguam Bela.

Malahan Cif Inspektor Azilah sendiri dalam keterangan membela diri menyatakan DSP Musa Safri tidak tahu apa masalah Razak Baginda. Musa hanya memberi nombor telefon Razak Baginda, dan Azilah sendiri yang berjumpa dan berurusan dengan Razak baginda.

Sepanjang siasatan dan perbicaraan, Polis, Pendakwaraya dan Mahkamah tidak pernah dimaklumkan peranan Musa Safri lebih daripada meminta bantuan Azilah membantu rakannya yang bernama Razak Baginda.

Berhubung dengan kenyataan Mahfuz Omar bahawa Sirul Azhar Umar hanya akan memberitahu siapa yang mengarahkannya membunuh model Mongolia, Altantuya Shaaribuu bila tiba masanya kelak; ia hanya membuktikan keputusan Mahkamah adalah tepat.

Sepanjang perbicaraan Sirul Azhar menegaskan bahawa beliau tidak terbabit dengan pembunuhan tersebut walaupun segala bukti menunjukkan ke arahnya dan Azilah. Justeru adalah sukar untuk Polis dan Jabatan Peguam Negara menyiasat kenyataan ini kecuali terdapat bukti baharu.

Sirul juga boleh mendedahkan siapa yang mengarahkannya semasa dipanggil membela diri. Beliau mengambil keputusan membela diri dari kandang tertuduh seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau tidak boleh disoal oleh Pendakwaraya, beliau bebas membuat sebarang pendedahan, namun beliau memilih untuk menafikan melakukan pembunuhan tersebut.

Sirul sebagai pelarian di Australia boleh sahaja menamakan siapa yang mengarahkan beliau di sana dan kita akan menyiasat jika ada bukti baharu.

Namun buat masa ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan kes ini telah selesai dan hanya akan membukanya jika ada bukti baharu dikemukakan.

Peguam Negara Malaysia.
8 April 2015.
*Mimpi ini berdasarkan fakta-fakta kes sebenar.

No comments:

Post a Comment