Wednesday, April 08, 2015

Ini Pemikiran Tun M Di Ambang Usia 90 Tahun?

final 3
8 April 2015
Rencana Oleh EDITOR

Masih lagi mengulas mengenai serangan-serangan yang dilancarkan Tun Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, penulis tertanya-tanya apakah bekas Perdana Menteri itu tidak berfikir panjang sebelum berbuat demikian.

Berdasarkan tulisan beliau yang menyatakan “tidak mudah” baginya untuk menulis dan menghentam Najib secara terbuka di blog dan kemudian turut menyerang dalam sidang-sidang media, penulis jangkakan Tun M sudah berfikir panjang.

Dan keputusan untuk menyerang Najib itu pada pandangan penulis turut menjelaskan kemerosotan tahap pemikiran bekas Perdana Menteri yang dulunya sangat tajam dan mengkagumkan kawan dan lawan.

Mungkin bagi Tun M, serangan yang dilancarkan terhadap Najib kali ini juga beliau jangka akan disambut dan disokong oleh ramai pihak sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri yang beliau pilih sendiri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun pemikiran hebat Tun M itu jelas merosot apabila jangkaannya tidak menjadi kenyataan menyaksikan ramai pemimpin, ahli, akar umbi, pengamal media sosial dan penyokong UMNO berdiri teguh mempertahan kewibawaan Najib.

Malah menurut penelitian penulis, para penyokong nombor wahid Tun M sebelum ini pun ramai yang sudah mula hilang rasa hormat atas tindakannya yang disifatkan sebagai keterlaluan, ‘cakap tidak serupa bikin’ dan mudah dipengaruhi pemikiran dakyah pembangkang.

Jika dahulu ramai yang berdiri di belakang Che Det ketika beliau begitu galak menghentam Pak Lah siang dan malam, kini ramai yang sudah mula ragu tentang apakah agenda sebenar seorang pemimpin yang mendakwa ‘sayang’kan UMNO.

Sebaliknya, pihak pembangkang pula kini menyokong Tun M untuk menghentam Najib. Berbeza benar dengan suasana dahulu di mana para pemimpin pembangkang begitu konsisten mempertahankan Pak Lah ketika beliau dihentam hebat oleh Tun M.

Persoalannya, apakah Tun M tidak dapat melihat bahawa dirinya kini sedang dijadikan bahan untuk menghentam UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional? Sampai Mahfuz Omar pun berjaya memanipulasi Tun M membawa ibu Sirul Azhar bertemu dengannya?

Tun M pernah berkata, jika marahkan nyamuk, jangan dibakar kelambunya. Malah dalam Islam sendiri, Rasulullah SAW menganjurkan kita menegur dengan cara berhemah, berhikmah dan cara yang betul. Apakah Tun M sudah lupa pada kata-kata sendiri dan pesan Nabi Muhammad SAW?

najib-razak-mahathir-mohamad-siti-hasmah-rosmah-mansor-2009-4-4-1-30-15

Sebelum ini, kemarahan Tun M pada Pak Lah telah membawa beliau bertindak keluar dari UMNO. Malah ketika itu, anak Tun M, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir begitu vokal mengkritik Pak Lah secara terbuka.

Ketika Tun M ‘susah’ ketika itu, siapakah yang bergegas bertemu dengan Tun M kalau bukan Najib? Siapakah yang meredakan kekalutan dalaman UMNO kalau bukan Najib? Pada siapakah Tun M serahkan semula borang permohonan keahlian UMNO kalau bukan Najib? Dan kini siapakah Najib di mata Tun M?

Sampai hati Tun M melabelkan Najib sebagai ‘partly instrumental’ untuk menjatuhkan Pak Lah? Najib hanya “perkakas” untuk jatuhkan Pak Lah? Jadi siapakah individu sebenar yang Tun M mahu dijadikan Perdana Menteri? Mukhriz?

Najib hanya ‘alat sementara’ untuk memberi tempoh pada Mukhriz naik sebagai Perdana Menteri? Boleh beri pencerahan secerah-cerahnya? Atau Tun M malu untuk menyebut anak sendiri? Takut dikatakan ‘masuk bakul, angkat sendiri’?

Ketika UMNO dalam keadaan lemah, siapakah yang bertanggunjawab mengukuhkan kembali sokongan pada UMNO sehingga parti keramat bangsa itu memperolehi kejayaan meningkatkan kemenangan bilangan kerusi UMNO pada PRU ke-13?

Tapi memandangkan tidak dapat majoriti 2/3, Najib itu jugalah yang diburuk-burukkan Tun M…

runningmates.storyimage

Kini, khabar dari kawan-kawan di sebelah utara semenanjung memberitahu bahawa anak Tun M, Mukhriz dalam keadaan serba-salah.

Sebagai ‘anak bapa’, mungkin beliau rasa bersalah sekiranya tidak menyokong Tun M sebagaimana ketika bapanya menyerang Pak Lah dulu. Khabarnya, Mukhriz menyokong kuat kepimpinan Najib. Itulah yang dikatakan, tak tahulah benar atau tidak.

Namun sehingga kini, turut diberitahu bahawa Mukhriz masih lagi berjaya mengelak dari memberi ulasan tentang pendiriannya terhadap kepimpinan Najib dan serangan bapanya terhadap Presiden UMNO itu.

Sampai bila Mukhriz dapat menyembunyikan pendirian sebenar beliau? Dan sekiranya benar Mukhriz menyokong penuh kepimpinan Najib, mengapa perlu Tun M meletakkan diri anaknya dalam keadaan serba salah?

Pada pandangan penulis, di kala usia tua ini, seboleh-bolehnya Tun M yang hampir berusia 90 tahun banyak menghabiskan masa dengan beribadah kepada Allah. Sudah cukup banyak pahala Tun M membangunkan Malaysia, jangan pula rosakkan imej sendiri dengan melakukan sesuatu yang tidak wajar…

dr-mahathir-solat

Sudah hampir 27 tahun Allah memberikan umur ‘subsidi’ pada Tun M. Penulis doakan supaya usia Tun M dilanjutkan lebih panjang lagi supaya diperbanyakkan lagi amalan sementara menuju ke akhirat. Kita semua ke ‘sana’, kan?

Sekiranya masih mahu berbakti pada agama, bangsa dan negara, Tun M boleh ikhlas membantu UMNO di sebalik tabir tanpa mengharapkan sebarang balasan. Jika mahu tegur, boleh ditegur mengikut saluran yang betul, kan? Cuma, janganlah paksa semua orang ikut kemahuan Tun M. Kepimpinan UMNO bukan ‘boneka’…

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment