Thursday, April 02, 2015
Dana Bumiputera Al-Ansar Berjumlah RM200 Juta Dilancar Najib
2 April 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan
Dana Bumiputera Al-Ansar Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM200 juta,
bagi memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera muslim di
negara ini.
Perdana Menteri berkata pelaksanaan dana di bawah akaun pelaburan
terhad serta patuh syariah yang pertama di Malaysia itu diharap
memangkin pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata dana berkenaan akan membantu usahawan dari segi modal kerja, pembiayaan kontrak dan perbelanjaan modal.
“Saya yakin bahawa usaha TH ini akan dapat bukan sahaja melahirkan
lebih ramai usahawan tetapi juga membawa mereka yang sudah terlibat
dalam bidang perniagaan akan dapat pergi ke tahap yang lebih tinggi.
“Mudah-mudahan mereka bukan tergolong dalam kumpulan ‘micro
enterprise’ tetapi menjadi PKS dan seterusnya menjadi syarikat yang
lebih besar serta disenarai di bursa dan bersaing di persada
antarabangsa,” katanya ketika berucap melancarkan dana berkenaan di
bangunan Parlimen di sini, Khamis.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengerusi
Bank Islam Malaysia Berhad Datuk Zamani Abdul Ghani.
Najib berkata pembiayaan bagi dana tersebut diberikan keutamaan
kepada 11 sektor termasuk makanan halal; minyak dan gas; pendidikan;
kesihatan; pertanian; pembinaan serta borong dan runcit.
Beliau berkata dana tersebut menawarkan kemudahan pembiayaan kredit
bernilai antara RM50,000 hingga RM1 juta yang akan disalurkan oleh Bank
Islam sebagai agen pengurus dana.
Najib berkata agenda pembangunan Bumiputera merupakan agenda nasional
yang perlu diteruskan dalam bentuk tindakan dan program-program bagi
mengisi agenda tersebut.
Antara langkah-langkah yang telah diambil kerajaan bagi memperkasa
kaum Bumiputera termasuk memperluas skim usahawan permulaan bumiputera
(SUPERB); melaksanakan dasar ‘carve-out’ iaitu sebahagian kontrak
kerajaan yang besar diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera selain
pembangunan modal insan, kata beliau.
Justeru, Najib menyarankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang
lain agar mengikut jejak langkah TH dalam memperkenalkan dana bagi
membantu usahawan Bumiputera.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Azeez berkata Dana Bumiputera Al-Ansar merupakan hasil keuntungan yang diperoleh TH.
“Keuntungan tersebut kita keluarkan dan bagi pinjam untuk memberi
peluang usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka selain
memberi dividen yang tinggi kepada pendeposit,” katanya.
Katanya mereka yang berminat untuk memohon dana tersebut boleh ke cawangan Bank Islam di seluruh negara untuk tindakan lanjut.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment