Thursday, April 16, 2015
Ekonomi, Hutang & GST - Menjawab Tun M, Dr Khairudin Tentang Prestasi Najib
EDITOR MENULIS...
16 April 2015
Saya tertarik untuk memberikan jawapan kepada persoalan oleh pelbagai pihak iaitu Tun Dr M dan juga termasuk Datuk dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang banyak disebar dan di 'viral' kan baru-baru ini.
1. Sejak
kebelakangan ini terdapat terlalu banyak usaha untuk memperkecilkan
kemampuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan
Barisan Nasional di dalam menguruskan ekonomi negara. Dalam kebanyakan
keadaan kritikan yang dibuat tidak bersandarkan fakta tetapi hanya
merupakan permainan angka dan persepsi semata-mata.
2. Terbaru
adalah tulisan Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali yang cuba
mempertikaikan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan
mengaitkannya dengan keborosan kerajaan berbelanja.
3. Saya suka menjelaskan bahawa tulisan Dr Mohd Khairuddin ini mempunyai beberapa kecacatan kerana dia tidak benar-benar memahami:
i. Kronologi perubahan defisit perbelanjaan negara sejak tahun 1997 sehingga sekarang
ii. Takrif
hutang negara yang terbaru dan sebab-sebab negara berhutang serta
konteksnya bagi memastikan pertumbuhan positif ekonomi negara
iii. Sumber
pendapatan sebenar negara, termasuk kekhilafannya bila menyebut bahawa
petroleum adalah penyumbang lumayan pendapatan negara sedangkan Malaysia
merupakan negara pengimport bersih petroleum
iv. Manfaat
sebenar GST kepada rakyat, peniaga dan negara berbanding SST, termasuk
kefahaman tentang bagaimana GST menghalang kehilangan pendapatan oleh
peniaga melalui shadow economy dan sebab Majlis Fatwa Kebangsaan
mengharuskan kutipan GST
4. Masalah negara memang bermula daripada tahun 1997 dan 1998 akibat krisis matawang dan berlanjutan sampai ke hari ini.
Kedudukan defisit bajet negara selepas krisis ekonomi tahun 1998, surplus 2.4% dan
berada pada paras 5.3% pada tahun 2003
Defisit perbelanjaan negara meningkat selepas krisis ekonomi tahun
2008 dan memberi kesan kepada perbelanjaan negara tahun 2009 pada kadar
4.6% dan tahun 2010 pada 6.7%.
5. Pada
tahun 1998, krisis matawang menyebabkan pertumbuhan ekonomi kita
menguncup sehingga negatif 7.4 % ( -7.4% ). Bagi menyokong kembali
ekonomi yang menguncup di bawah paras negatif tentulah memerlukan
perbelanjaan yang banyak dan atas dasar itu perbelanjaan negara
mengalami defisit.
6. Selain
membantu pertumbuhan ekonomi, negara juga perlu mengekalkan jumlah
subsidi yang telah diberi kepada rakyat, termasuk subsidi minyak. Pada
tahun 1997 dan 1998, subsidi hanya sekitar RM934 juta sahaja, tetapi
pada tahun 2014 jumlah subsidi sudah meningkat kepada RM40 bilion, iaitu
meningkat sebanyak RM39 bilion.
Subsidi tahun 1997 adalah sebanyak RM 934 juta
dan pada tahun 1998 dianggarkan RM 895 juta
Subsidi tahun 2013 adalah sebanyak RM43.3 bilion,
2014 sebanyak 40.5 bilion dan 2015, dianggarkan RM 37.6 bilion
7. Pada
tahun 2006 hutang negara sekitar RM247 billion tetapi selepas krisis
matawang 1997/98 terdapat satu lagi krisis ekonomi global, iaitu pada
tahun 2008 yang menyebabkan ekonomi negara juga terjejas dan mengalami
penguncupan pertumbuhan sekitar negatif 1.5% ( - 1.5% ).
8. Sekali
lagi kerajaan terpaksa menyokong ekonomi negara dan defisit ketika itu
(tahun 2010) adalah 6.7%. Ketika ini Datuk Seri Najib baru sahaja
mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Badawi.
9. Pada
tahun 2011, iaitu hanya selepas dua tahun Datuk Seri Najib menjadi
Perdana Menteri defisit sebanyak 6.7% pada tahun 2010, dikurangkan
kepada sekitar 5.4% sahaja. Selain berjaya mengurangkan defisit sebanyak
1.3%, Datuk Seri Najib juga berjaya memastikan pertumbuhan ekonomi
negara melonjak daripada – 1.5% pada tahun 2009 kepada 7.4 %. Satu
pencapaian yang amat baik di saat banyak negara Eropah yang jatuh
bankrap.
10. Selepas 2009, memang hutang meningkat, tetapi ekonomi juga meningkat dan defisit perbelanjaan tahunan menurun.
11. Terbaru
hutang luar negara bertambah sebab takrif baru hutang luar negara IMF
yang jadikan pegangan modal asing juga sebagai hutang luar negara.
Kenapa hutang luar negara bertambah begitu banyak? Kerana ketika ini
pasaran bond dan sukuk Malaysia adalah paling besar di Asia Tenggara dan
ketiga terbesar di Asia. Ramai pelabur asing yang membeli bond dan
sukuk terbitan Malaysia dan jumlah ini turut dikira sebagai hutang
negara.
12. Walaupun
tercatat Hutang Luar Negara sebanyak RM 744 bilion, tetapi 42% adalah
hutang bukan pemastautin, 37% hutang swasta, 19% lain-lain hutang dan
Hutang Luar Negara Kerajaan Persekutuan hanya 2%, iaitu RM16.8 bilion
sahaja.
13. Adalah
silap untuk mengatakan berlaku ketirisan dan pembaziran yang berleluasa
pada zaman Datuk Seri Najib kerana defisit perbelanjaan menurun setiap
tahun sejak beliau mengambil alih pentadbiran, iaitu dari 6.7% pada
tahun 2009, selepas itu ia turun kepada 5.4% (2010), seterusnya 4.8%
(2011), 4.5% (2012), 3.9% (2013), 3.5% (2014) dan dalam bajet 2015,
3.0%. Bagaimanapun sasaran ini dinaikkan sedikit kpd 3.2% semasa ucapan
pengubahsuaian bajet 2015, kesan daripada penurunan harga minyak dunia
dan bencana banjir besar.
14. Penurunan
defisit perbelanjaan dari 6.7% pada tahun 2009 kepada 3.2% pada tahun
2015 menunjukkan Datuk Seri Najib bersungguh-sungguh berusaha
membetulkan kembali perbelanjaan negara.
15. Dari
tulisan Datuk Dr Khairudin, kita juga dapati kefahamannya mengenai GST
tidak tepat. GST adalah kaedah cukai yang lebih baik daripada sistem
percukaian sedia ada, iaitu SST. Pertama, GST menyebabkan elemen cukai
tidak lagi menjadi sebahagian daripada kos pengeluaran barangan dan
perkhidmatan. GST tidak seperti SST yang mengakibatkan cukai menjadi
sebahagian daripada kos barangan dan di'mark-up' bersama dengan harga barang di setiap peringkat sebelum dijual kepada pengguna.
16. Bila
cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos, kos pengeluaran menjadi
lebih rendah untuk peniaga, seterusnya harga kepada pengguna juga
sepatutnya menjadi lebih rendah kerana tidak ada kesan cukai berganda
dan cukai bertindih ke atas pengguna. Kedua, GST baik untuk rakyat
kerana harga dan untung peniaga dapat dianggar oleh kerajaan berbanding
semasa SST. Semasa SST harga susah dianggar maka, agak susah untuk
kerajaan mengambil tindakan ke atas peniaga yang tamak dan mengambil
untung berlipat kali ganda menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti
Pencatutan.
17. GST
juga baik untuk peniaga yang jujur kerana apabila mereka boleh menuntut
cukai input, bermaksud kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan mereka
dapat dikurangkan. Harga mereka dengan itu akan menjadi lebih
kompetitif.
18. GST
`tidak baik dan zalim’ hanya kepada peniaga yang menipu, yang mengelak
cukai, yang tidak berdaftar, yang menjalankan peniagaan yang diragui dan
haram kerana ruang untuk menipu lebih sukar di bawah GST. Akibat
peniaga sukar melarikan diri dari dicukai, dianggarkan pendapatan
melalui GST jauh lebih baik drpd SST, iaitu tambahan sekitar RM 10
bilion
19. Bagaimanapun
walaupun ada GST, hasil pendapatan utama negara masih disumbangkan oleh
Cukai Pendapatan. Sebelum ini SST hanya menyumbangkan sekitar 8%
daripada hasil pendapatan negara. Selepas pelaksanaan GST, dianggarkan
GST pula menyumbang sekitar 9.2%. Bagaimanapun Cukai Pendapatan
menyumbangkan sekitar 55% hasil pendapatan negara.
20. Betul
cukai pendapatan cuma dibayar oleh 3 juta orang, tetapi 3 juta orang
ini yang sedang menyumbang pendapatan negara untuk 30 juta rakyat
Malaysia. Golongan kaya dan syarikat-syarikat besar adalah penyumbang
utama hasil kerajaan. Jika dirujuk Jadual Kadar Cukai Pendapatan tahun
2014, kadar cukai golongan pendapatan bercukai RM 10,001 ke 20,000
setahun hanya 2%, iaitu sekitar RM 100 ke RM 200 setahun. Bagi golongan
berpendapatan tinggi pula, iaitu yang bercukai RM100,000 setahun ke
atas, jumlah yang dibayar jauh lebih tinggi, iaitu pada kadar 26% atau
minimum RM 13,850. Apabila GST dilaksanakan, bukan saja mereka yang
berpendapatan tinggi ini menyumbang melalui cukai pendapatan, tetapi
nilai sumbangan mereka melalui GST juga lebih tinggi disebabkan jumlah
perbelanjaan mereka jauh lebih tinggi daripada mereka yang berpendapatan
rendah.
21. Datuk
Dr Khairudin juga mengharamkan kutipan GST sedangkan Majlis Fatwa
Kebangsaan dalam Muzakarah ke-106 pada 21 - 22 Oktober 2014 telah
membuat ketetapan bahawa hukum GST adalah HARUS. Ini sebenarnya selari
dengan pandangan bahawa hukum memungut cukai adalah bersifat IJTIHAD.
Yusof Al Qaradawi di dalam kitabnya tentang zakat menyebut “pemerintah
boleh memungut cukai atas alasan membangunkan negara… apatah lagi untuk
membantu rakyat dari ditindas atau dimanipulasi oleh para peniaga yang
mengaut keuntungan berlipat ganda dan ‘peniaga gelap’ yang mengelak dari
membayar cukai”. Pandangan Datuk Dr Khairudin ini juga pelik kerana dia
tidak pula mengharamkan kutipan cukai melalui SST, Cukai Tanah, Cukai
Pintu, Cukai Bakul di Kelantan, Cukai Katil di Pulau Pinang dan pelbagai
kutipan cukai sedia ada.
22. Berdasarkan Bajet 2015, hasil pendapatan dan perbelanjaan negara adalah seperti berikut:-
23. Bagaimana
Datuk Dr Khairudin boleh mengharamkan cukai yang menjadi sumber kepada
pembayaran gaji (RM65.6 bilion) dan pencen penjawat awam (RM16.2
bilion), subsidi (RM37.7 bilion), pembiayaan pendidikan (RM 53 bilion),
kesihatan (RM21.9 bilion), perumahan (RM746 juta) dan keselamatan negara
(RM4.9 bilion)? Adakah dia juga mengharamkan gaji dan semua subsidi
yang diterima oleh rakyat kerana kononnya datang dari sumber haram?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment