Thursday, April 16, 2015
“Tiada Sebab Untuk Saya Letak Jawatan,” – Mukhriz
16 April 2015, Ayer Hitam : Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata
beliau tidak nampak sebarang sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai
Menteri Besar Kedah, sebagaimana desakan oleh pihak tertentu baru-baru
ini.
Menurutnya, jawatan Menteri Besar yang disandangnya kini merupakan
amanah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga
Presiden UMNO serta rakyat.
“Saya rasa tiada sebab untuk saya melepaskan jawatan ini (Menteri
Besar), kerana ini adalah amanah daripada Perdana Menteri dan amanah
rakyat, jadi tidak timbul masalah yang begitu besar sehingga memerlukan
saya meletakkan jawatan,” katanya hari ini.
Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan
Tani di sini.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lada
Datuk Ahmad Lebai Sudin baru-baru ini yang mendesak beliau untuk meletak
jawatan sebagai Menteri Besar jika gagal menyokong Perdana Menteri.
Ahmad meminta Mukhriz menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri
dengan segera sebagaimana yang dilakukan oleh Badan-Badan Perhubungan
UMNO Negeri yang lain dan tidak bertindak menangguhkannya.
Hari ini, terdapat blog tidak dikenali yang mendakwa Menteri Besar Kedah itu bakal meletak jawatan pada 24 April ini.
Badan Perhubungan UMNO Kedah dijadualkan bermesyuarat di Kuala Lumpur
pada 24 April ini untuk mencari persetujuan tentang kenyataan
sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Sebelum ini Mukhriz berkata, UMNO Kedah akan mengeluarkan kenyataan
sokongan terhadap Najib itu berdasarkan konsensus daripada kesemua
pemimpin-pemimpin UMNO Kedah.
Beliau juga berkata, tidak akan ada kenyataan daripada UMNO Kedah sehinggalah mesyuarat 24 April itu diadakan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment