Sunday, April 05, 2015
Jamaluddin Jarjis, Daripada Ahli Akademik Kepada Diplomat Hebat
5 April 2015, Kuala Lumpur : Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban
dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih dekat sini
petang Sabtu, adalah seorang insan yang memiliki pelbagai bakat
istimewa.
Anggota Parlimen Rompin itu, yang akan mencapai usia 64 tahun pada 25
Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan menjadi tenaga pengajar di
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 selepas memperoleh Ijazah
Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik
dari University of Manchester, United Kingdom.
Dua tahun kemudian, Allahyaham memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam
bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Manitoba, Kanada dan
pada 1980, beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam
bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari University of McGill,
Kanada.
Selepas enam tahun menabur bakti dalam bidang akademik, pada 1981
Allahyarham berundur untuk menubuhkan sebuah firma perunding yang
membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal
dikenali sebagai J&A Associates.
Pada 1986, Allahyarham membeli EPE Power Corporation Berhad dan
menyandang jawatan naib pengerusi eksekutifnya sebelum berundur pada 3
Ogos 2000, sehari sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi Tenaga
Nasional Berhad, dan selepas itu dilantik sebagai pengerusi TNB pada
September 2000.
Dalam arena politik, Allahyarham Jamaluddin memulakan langkahnya
dengan menjadi anggota UMNO Kampung Mengkasar di Pekan pada 1980 dan
menyandang jawatan Ketua Pemuda.
Lima tahun kemudian, Allahyarham dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO
Pekan dan pada 1988 sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang dan anggota
Exco Pemuda UMNO. Beliau juga dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi
UMNO bagi penggal 2008-2011.
Kali pertama Allahyarham Jamaluddin, yang juga Pengerusi Program
Perumahan 1Malaysia (PR1MA), bertanding sebagai calon ialah pada Pilihan
Raya Umum 1990 iaitu bagi kerusi parlimen Rompin.
Dalam pertandingan itu, beliau mengalahkan calon PAS, Salim@Ahmad Awg
Kalib dengan 13,128 undi majoriti, manakala pada pilihan raya umum
lepas (Mei 2013), beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Rompin bagi
penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh,
dengan majoriti 15,114 undi.
Allahyarham Jamaluddin berundur daripada TNB pada November 2002
setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam pentadbiran Tun Dr
Mahathir Mohamad dan dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan
Kabinet pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2004.
Tidak sampai dua bulan kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi serta diberi tanggungjawab untuk
menjayakan Program Angkasawan Negara bagi menghantar seorang rakyat
Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz
TMA-11.
Program yang diumumkan secara rasmi oleh Dr Mahathir pada 2003 itu
merupakan program bersama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia di bawah
program perjanjian timbal balas kerajaan dengan kerajaan melalui
pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30MKM untuk Tentera Udara Diraja
Malaysia.
Misi angkasa lepas pertama Malaysia itu terlaksana dengan Datuk Dr
Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa
lepas pada 10 Okt 2007.
Pada 2009, Jamaluddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat bertaraf menteri.
Ketika menyandang jawatan itu, beliau memanfaatkan teknologi terkini
untuk mendekatkan diri dengan penduduk di kawasan Parlimen yang
diwakilinya, walaupun berada jauh di perantauan.
Pada satu majlis di Rompin, Jamaluddin merasmikan program bersama rakyat melalui sidang video dari Amerika Syarikat.
Semasa betugas selama empat tahun di Washington, beliau berjaya
meletakkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di peringkat paling tinggi
dalam sejarah negara ini.
Sebagai duta khas Malaysia di Amerika Syarikat pula, Allahyarham
Jamaluddin berusaha gigih untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua
negara dan merintis jalan bagi lawatan Obama ke Malaysia tahun lepas.
Lawatan Obama itu merupakan kunjungan pertama presiden Amerika
Syarikat dalam tempoh 48 tahun ke negara ini selepas lawatan Presiden
Lyndon B. Johnson pada 1966.
Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 25 Mei 1951, Allahyarham Jamaluddin
meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, serta tiga anak
iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.
Dieptik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment