Sunday, April 05, 2015
Cadangan Kit Siang “Selamatkan Malaysia” Hanya Untuk Survival Politik Dap
6 April 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat,
Haji Ruslan Kasim berkata, kerajaan dan UMNO perlu berhati-hati dengan
cadangan Penasihat Dap, Lim Kit Siang yang meminta diwujudkan kerajaan
campuran antara Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang atas
alasan menyelamatkan Malaysia kerana dibimbangi wujudnya unsur-unsur
udang di sebalik batu.
Jelas beliau, cadangan Kit Siang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan
antara BN dan pakatan pembangkang dengan alasan untuk menyelamatkan
Malaysia dilihat lebih kepada usaha Dap untuk menolak sebarang
pelaksanaan hudud di negara ini.
“Jika Kit Siang benar-benar ikhlas mahukan kerajaan perpaduan ini
demi untuk kelangsungan dan kemakmuran negara, maka tidak ada masalah
tetapi apa yang kita bimbangkan ialah kemungkinan ada udang di sebalik
batu sebagaimana hari ini kita dapat lihat pakatan pembangkang diambang
kehancuran berikutan isu hudud.
“Selain itu, kita juga bimbang sekiranya cadangan beliau itu hanya
semata-mata untuk menyelamatkan survival politik Dap saja dan untuk
meneruskan agenda mereka dalam menolak sebarang pelaksanaan hudud di
negara ini. Ini berdasarkan luahan kekecewaan beliau dalam perkembangan
terbaru pakatan pembangkang hari ini,” ujarnya kepada UMNO-Online di
sini hari ini.
Selain itu, beliau turut mempertikaikan kenyataan Kit Siang yang
mendakwa UMNO dan BN bagaikan sebuah kapal yang kehilangan nakhoda
dengan alasan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib hari
ini adalah lemah.
“Mungkin di dalam pentadbiran kerajaan BN, ada sedikit cacat cela dan
ketidaksempurnaan di sana sini, namun ini tidak bermaksud kerajaan BN
atau pun UMNO lemah.
“Sebenarnya yang lemah hari ini adalah pakatan pembangkang. Kit Siang
kena akui bahawa pakatan pembangkang kini dalam keadaan yang menuju
kehancuran lantaran pertentangan ideologi dan perbezaan pendapat yang
semakin kritikal dan tidak dapat diselamatkan.
“Jadi bagi saya, cadangan Kit Siang itu lebih kepada bertujuan untuk
menyelamatkan survival politik Dap apabila kehancuran apabila perpecahan
pakatan pembangkang sudah tampak jelas di hadapan mata beliau,”
tegasnya.
Sebab itu kata beliau lagi, rakyat hari ini perlu menilai dengan
fikiran yang terbuka dan rasional bahawa pakatan pembangkang bukanlah
satu pakatan yang boleh diharapkan untuk mentadbir negara.
“Sejak dari dulu lagi saya katakan bahawa gabungan parti di dalam
pakatan pembangkang ini adalah rapuh. Mereka tidak mampu untuk bertahan
lama kerana perbezaan ideologi dan pendekatan politik yang amat berbeza
sekali seperti langit dan bumi.
“Justeru itu, perbalahan sesama mereka sememangnya sudah kita
jangkakan dan hari ini kita dapat lihat bagaimana perpecahan hampir
pasti berlaku di dalam pakatan pembangkang,” tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment