Sunday, April 05, 2015
Dewan Rakyat Bertafakur Seminit Bagi Memperingati Mangsa Helikopter Terhempas
6 April 2015, Kuala Lumpur : Dewan Rakyat hari ini bertafakur selama
seminit bagi memperingati pemergian Anggota Parlimen Rompin, Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis dan lima lagi mangsa yang terkorban dalam nahas
helikopter di Semenyih Sabtu lepas.
Seluruh anggota parlimen beragama Islam diminta menyedekahkan
Al-Fatihah buat mangsa manakala wakil rakyat bukan Islam bertafakur
sebagai tanda memperingati mangsa nahas berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said
menyatakan pemergian Jamaluddin adalah kehilangan besar kepada negara
kerana peranannya menyumbang tenaga membangun negara termasuk membawa
nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Bagi pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan pihak parlimen kami
mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail
dan seluruh keluarga Allahyarham, ” katanya yang seterusnya
menyenaraikan jawatan-jawatan yang pernah dipegang Allahyarham sepanjang
khidmatnya dengan kerajaan, termasuk sebagai Duta Khas ke Washington.
Ismail turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin
berwibawa, mengambil berat kebajikan rakyat sepanjang menjadi wakil
rakyat selama enam penggal.
Semalam, jenazah Jamaluddin disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara selepas solat Asar.
Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia dan
Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri,
bersama empat orang lagi terkorban apabila helikopter Dauphin AS365N2
yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala
Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening,
Semenyih pada 4.55 petang pada Sabtu.
Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten
Clifford Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi
Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment