Monday, April 13, 2015
Kalau Ikut Pembangkang, Undang-Undang Hanya Untuk Penuhi Agenda Politik Mereka
13 April 2015, Kuala Lumpur : Jika dilihat kepada reaksi pembangkang
terhadap usaha kerajaan memberi penambahbaikan undang-undang demi
keharmonian masyarakat seperti Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta
Hasutan misalnya, kelihatan seolah-olah pembangkang jika boleh tidak
mahu kepada undang-undang yang mengekang daripada perlakuan-perlakuan
yang salah dan tidak mengikut peraturan, jelas penganalisis politik,
Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
Menurut beliau lagi, sebagai sebuah negara, perlu kepada peraturan
dan undang-undang kerana ia menjadi panduan untuk menguruskan
masyarakat.
“Jika diberi kebebasan penuh, sudah pasti akan mampu menggugat
keselamatan dan keharmonian seterusnya menimbulkan keadaan huru-hara,
dengan tidak memikirkan orang lain.
“Di manakah satu negara yang dalam dunia ini yang tidak mempunyai
undang-undang? Begitu juga dalam situasi negara kita ini, sebagai sebuah
kerajaan yang bertanggungjawab, pasti memerlukan undang-undang yang
mampu memberi keamanan dan demi kemaslahatan rakyat,” ujarnya kepada
UMNO-Online.
Beliau seterusnya berkata, tiada satu pun usaha kerajaan yang
pembangkang sokong, semuanya dibantah demi kepentingan politik mereka
sahaja.
Tambah beliau lagi, terdapat beberapa negara luar yang masih
mengekalkan undang-undang semirip Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
tetapi kenapa mereka tidak bersuara atas nama hak asasi manusia dan
kebebasan bersuara.
“Secara asasnya, pembangkang bukan sahaja menolak akta-akta tersebut,
sebenarnya mereka akan mencari jalan dan menggunakan peluang untuk
menyalahkan kerajaan serta melemahkan kerajaan yang ada.
“Selama ini mereka berdemonstrasi dengan harapan untuk menumbangkan
kerajaan tetapi masih tidak berjaya, kini, mereka menggunakan pula media
maya seperti media sosial dan menghasut rakyat dengan harapan mampu
menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14
(PRU14) nanti,” jelas Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia,
Universiti Malaysia Perlis (UniMap) itu.
Katanya, dasar perjuangan mereka sebenarnya jelas iaitu menentang dan
melemahkan kerajaan dari semua sudut seterusnya menjatuhkan kerajaan
dan sekarang dengan membina persepsi serta mempengaruhi rakyat supaya
menolak BN pada PRU14 nanti.
“Asasnya supaya rakyat pandang kerajaan itu lemah. Mana yang tidak
fikir panjang, pasti akan terpengaruh. Pembangkang sering menimbulkan
persepsi bahawa pentadbiran kerajaan sekarang banyak masalah, tetapi
apakah mereka bagus?” katanya.
Sejak mentadbir Selangor, pelbagai isu timbul seperti penstrukturan
air sekejap jadi sekejap batal dan membatalkan projek Lebuhraya Kidex,
walhal bukankah itu untuk kebajikan rakyat mereka, soalnya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment