Monday, April 13, 2015
Kerajaan Sedia RM759 Juta Bantu Usahawan, Petani Terjejas Banjir – Muhyiddin
11 April 2015, Tanah Merah : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak
RM759 juta bagi membantu usahawan kecil dan sederhana serta petani
memulihkan kembali sumber ekonomi mereka yang terjejas banjir akhir
tahun lepas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan itu disalurkan menerusi
beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Kami salurkan menerusi beberapa agensi bertanggungjawab seperti
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp) dan Bank Negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.97 juta diperuntukkan khusus
kepada usahawan kecil dan sederhana serta petani di Kelantan,” katanya
ketika berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Pemulihan Ekonomi Mangsa
Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah I di sini, hari
ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan
Perdana Menteri Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan anggota Parlimen Tanah
Merah merangkap Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd
Aziz.
Muhyiddin berkata walaupun kerajaan negeri Kelantan dipimpin oleh
pembangkang, kerajaan Persekutuan tidak sesekali menganaktirikan negeri
itu, malah duduk semeja dengan pemimpin negeri bagi memulihkan kembali
kehidupan mangsa banjir di Kelantan.
“Atas dasar kemanusiaan, kami ketepikan perbezaan politik, malah kami
duduk bersama dalam jawatankuasa (banjir). Kalau kami tak lakukan
begitu, ada pihak akan kata ia semua bertujuan politik.
“Bila UMNO tolong, kata ada (tujuan politik), bila PAS tolong, juga
akan ada yang kata bertujuan politik. Jadi kami duduk semeja, orang nak
cakap ia bertujuan politik pun tak apalah,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata
kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta dalam bentuk geran kepada
mana-mana penyelidik Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta yang
berminat mengkaji faktor kenapa berlakunya banjir besar di Kelantan.
“Ada yang kata sebab penebangan balak yang berlebihan sehingga
menyebabkan hakisan muka bumi, tiada perancangan teliti, sungai tak
dipelihara dan sebagainya.
“Kami (kerajaan) dah mulakan langkah ini (kajian). Mana-mana
universiti yang berminat untuk membuat kajian, wujudkan pasukan
penyelidik dan mohon geran dengan Kementerian Pendidikan, dan hasilnya
bentang kepada saya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment