Monday, April 13, 2015
UMNO Wilayah Persekutuan Ikrar Taat Setia Kepada Kepimpinan Najib
11 April 2015, Bentong : Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan hari ini melafazkan ikrar taat setia tanpa berbelah-bahagi
terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pada masa
yang sama, mereka juga menyampaikan rasa hormat yang sangat tinggi
kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Mutakhir ini, kita melihat banyak komen-komen yang dilemparkan
kepada Najib yang juga Presiden UMNO dan Dr Mahathir yang sudah banyak
berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara ini” katanya.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata demikian dalam
satu sidang media khas bagi menyokong kepimpinan Najib di Colmar
Tropicale, Bukit Tinggi di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Setiausaha
UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Bendahari
UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Johari Ghani.
Tengku Adnan berkata berikutan kritikan terhadap kepimpinan Najib
baru-baru ini, Dr Mahathir yang banyak berjasa kepada negara itu juga
kini menerima komen negatif daripada banyak pihak.
“Kami sememangnya tidak pernah bersetuju dengan komen-komen negatif
yang dilemparkan terhadap Najib yang sudah melakukan banyak kebaikan
kepada rakyat dan negara sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Tengku Adnan berkata musuh sebenar UMNO adalah tentangan daripada
gabungan parti-parti pembangkang dan bukannya bertelagah sesama sendiri
atas isu-isu yang dilihat bersangkut dengan kepentingan peribadi.
Beliau berkata seharusnya semua pihak menyokong dan memberikan
peluang kepada Najib untuk melaksanakan segala program transformasi yang
telah direncanakan demi faedah rakyat dan negara.
“Keutamaan kami ialah memperkasakan perjuangan UMNO dan mengekalkan
sokongan orang Melayu terhadap parti bukannya terjebak dan terheret
dengan isu-isu yang sengaja diputarbelitkan oleh pihak oportunis dan
berkepentingan,” katanya.
“Saya menghormati pandangan dan kritikan yang dikemukakan oleh Dr
Mahathir dan tidak melihat sebarang masalah antara mereka (Najib dan Dr
Mahathir),” kata Tengku Adnan.
Beliau juga meminta semua pihak berhenti melagakan kedua-dua pemimpin
itu dan menurutnya segala persoalan serta kritikan tersebut telahpun
dijawab Najib.
“Sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, saya
ingin menegaskan bahawa tiada apa yang lebih bermakna selain mengekalkan
kewibawaan UMNO sebagai satu-satunya parti yang mempunyai kekuatan
memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini,” jelasnya.
Justeru itu, kejayaan UMNO sebagai sebuah parti tunggal yang berjaya
memperjuangkan kepentingan semua kaum mesti dipertahankan oleh semua
pihak termasuk pendukung dan bekas-bekas pemimpin yang pernah menyandang
jawatan dalam parti, katanya.
Ketika ditanya tentang cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim supaya beliau menjadi orang tengah antara
Dr Mahathir dengan Najib, Tengku Adnan berkata tiada keperluan
sedemikian kerana kedua-dua mereka memang tidak mempunyai sebarang
permasalahan.
“Mereka sebelum ini ada berjumpa dan tidak ada sebarang masalah,
sebenarnya masalah ialah orang ketiga yang hendak lihat mereka
berpecah,” katanya.
Terdahulu kira-kira 200 pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan yang
menghadiri Bengkel Pemukiman UMNO Wilayah Persekutuan itu menyatakan
sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap kepimpinan Najib.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment