Wednesday, April 15, 2015
MCA Yakin Pengundi Cina Berpihak Kepada BN Di Permatang Pauh
15 April 2015, Kuala Lumpur : MCA yang kini bekerja keras mengembalikan
sokongan pengundi Cina kepada parti dan Barisan Nasional (BN), yakin
pengundi Cina akan memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya kecil
(PRK) Permatang Pauh.
Naib Presidennya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata sekalipun banyak
isu semasa yang dibangkitkan, namun MCA yakin mereka akan tetap memberi
sokongan kepada BN pada PRK itu 7 Mei ini.
“Walaupun cabaran kami masih besar kerana ada isu-isu semasa yang
dibangkitkan masih perlu dijawab dan dijelaskan kepada pengundi, namun
kami yakin sokongan mereka tetap ada pada BN,” katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen, hari ini.
Chew
berkata pihaknya telah melakukan persediaan rapi dengan menggerakkan
jentera pilihan raya parti itu dari peringkat cawangan, bahagian dan
negeri di Pulau Pinang ke Permatang Pauh.
“Semua anggota jawatankuasa dan majlis tertinggi, termasuk Presiden
(Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan Timbalan Presiden (Datuk Dr Wee Ka
Siong) turut akan turun padang bagi membantu jentera pilihan raya di
sana,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7
Mei ini, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
pada 16 Mac lepas, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota
keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang
kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment