Friday, April 03, 2015
Menang Di Permatang Pauh Bukan Perkara Yang Mustahil
3 April 2015, Permatang Pauh : Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd
Zaidi Mohd Said berkata, UMNO Permatang Pauh hanya menanti isyarat
daripada pihak atasan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan
Undangan Negeri (DUN) ini.
PRK DUN Permatang Pauh bakal diadakan berikutan Lembaga Pengampunan
Diraja menolak petisyen yang dibuat oleh keluarga Datuk Seri Anwar
Ibrahim untuk mendapatkan pengampunan Diraja terhadap kes liwatnya
sekaligus Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Jelas Zaidi, gerak kerja dan pendekatan untuk menghadapi PRK kali ini
adalah jauh berbeza dari dahulu bagi memastikan masyarakat setempat
menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional
(BN).
“Ditambah pula kini pakatan pembangkang sendiri sedang bergolak, Dap
dilihat membuli Pas dan ini mendatangkan rasa tidak puas hati kepada
ahli parti itu. Di kawasan ini pula dikuasai oleh Pas.
“Maka kita berharap apa yang dilakukan oleh Dap ini akan membuka
pemikiran ahli Pas agar memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah.
“Selain itu, gerak kerja yang telah diatur sejak awal membuatkan saya
yakin kita mampu menang kali ini. Walaupun kita belum pernah menang di
sini tetapi kali ini saya yakin BN akan mencipta sejarah menang di
Permatang Pauh,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Mengulas mengenai persediaan jentera pula Zaidi memaklumkan semua
jentera termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri, semuanya telah bersedia
dari awal dan kini hanya menunggu saat untuk mengerah tenaga membantu
parti.
Apa yang pasti jelasnya, gerak kerja yang diatur bukanlah semata-mata
untuk PRK, tetapi adalah untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 juga.
“Kita mahu rakyat sedar walaupun pelbagai fitnah yang dilemparkan
kepada BN, namun hakikatnya BN adalah sebuah parti yang telah terbukti
kecemerlangannya. Tiada parti lain yang boleh disandarkan harapan selain
daripada BN,” – ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment