Monday, April 13, 2015
Nizar Gagal Pertahan Jawatan.
13 April 2015, Perak : Setelah tujuh penggal menyandang jawatan sebagai
Yang Dipertua Pas Kawasan Kampar, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
hari ini terpaksa akur apabila pengundian barisan kepemimpinan baharu
tidak lagi memihak kepadanya.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu tewas kepada pencabarnya, Mohd.
Sofian Rejab yang memegang jawatan sebagai Ketua Urusan Ulama Pas
Kawasan Kampar sejak 2011.
Pengerusi Tetap, Sulaiman Hamzah ketika mengumumkan keputusan
pengundian tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kampar di
Kampung Tersusun Malim Nawar dekat sini bagaimanapun, tidak menyebut
jumlah keseluruhan undi yang diperoleh.
Jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kampar dan Naib Yang
Dipertuanya pula masing-masing dimenangi oleh Ketua Dewan Pemudanya,
Anuar Morat dan Azmi Abdul Hamid yang berjaya mengekalkan kedudukan pada
penggal lalu.
Dalam pada itu, Sofian ketika ditemui berkata, beliau berikrar untuk
melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dalam menarik
lebih banyak sokongan masyarakat setempat untuk memperkukuh jentera
parti di Kampar.
“Saya bukanlah yang terbaik, namun, selagi kita menganjur dan
memperkembang syariat Islam, insya-Allah, semuanya akan berlangsung
seperti yang diinginkan,” katanya.
Dewan Ulama Pas Negeri baru-baru ini dilaporkan telah hilang
kepercayaan terhadap Mohammad Nizar ekoran kenyataan bersama yang
dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering itu
bersama-sama Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Laksamana (B) Imran Hamid, berhubung isu
hudud.
Kenyataan bersama itu antara lain memetik Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan adalah
di luar dasar bersama dan wajar dibincang serta perlu mendapat
persetujuan Majlis Presiden pakatan pembangkang.
Kekalahan Mohammad Nizar itu menyaksikan golongan ulama terus
mendapat kepercayaan ahli parti apabila beberapa kawasan Pas seperti
Tambun, Parit, Kuala Kangsar dan Bagan Serai yang turut menganjurkan
mesyuarat sama pada hari ini memilih Presiden parti, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang untuk terus menerajui saf kepemimpinan parti Islam itu.
Selain itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga
menjadi pilihan untuk dicalonkan bertanding merebut jawatan Timbalan
Presiden oleh keempat-keempat kawasan tersebut.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment