Wednesday, April 08, 2015
PRK Permatang Pauh Ditetapkan Pada 7 Mei – SPR
8 April 2015, Putrajaya : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di Pulau Pinang akan diadakan
pada 7 Mei ini.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang media
mengenai PRK kerusi Parlimen Permatang Pauh itu di sini hari ini berkata
penamaan calon pula akan diadakan pada 25 April, manakala pengundian
awal ditetapkan pada 3 Mei.
“Daftar pemilih yang akan diguna ialah daftar pemilih induk 2013 bagi
bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan sehingga daftar
pemilih tambahan suku ketiga tahun 2014 dan dikemaskini sehingga 1 April
2015,” katanya.
Daftar pemilih itu mengandungi 71,890 pemilih berdaftar yang terdiri
daripada 71,252 pemilih biasa, 627 pemilih awal dan 11 orang pengundi
tidak hadir luar negara.
PRK Permatang Pauh perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja
yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim
melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Pada 24 Feb lepas, isteri Ketua Pembangkang itu Datin Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha
menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku
Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima
tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya
Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Anwar yang bertanding
atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi Parlimen Permatang
Pauh setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mazlan Ismail
dan calon bebas Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi.
Anwar, 68, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula
bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam
pada April 1982 atas tiket BN dengan mengalahkan calon PAS Zabidi Ali
dengan majoriti 14,352 undi.
Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman
penjara pada 1999, dan kerusi tersebut dimenangi Dr Wan Azizah pada
pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.
Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 Sept 2004, tidak
dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh
pembebasan.
Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga
mengosongkan kerusi itu pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada
Anwar untuk bertanding kerusi itu dalam pilihan raya kecil kerusi
Permatang Pauh pada Ogos, 2008.
Anwar memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi.
PRK Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.
Lapan PRK sebelum ini adalah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov
2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian,
Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei
2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan
Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac
2015).
Menjelas lanjut mengenai PRK Permatang Pauh, Abdul Aziz berkata SPR
melantik Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah selaku pegawai
pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh enam penolong pegawai
pengurus.
“SPR juga setuju menubuhkan enam pasukan penguatkuasa kempen pilihan
raya yang akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap
pasukan,” katanya.
Menurut Abdul Aziz penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan
diadakan di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit
Mertajam.
Abdul Aziz berkata pengundian awal akan dijalankan di Dewan Gemilang
Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah manakala bagi pengundian
biasa pula, 25 buah sekolah akan diguna sebagai pusat mengundi
melibatkan 132 saluran.
Katanya kos pengendalian PRK Permatang Pauh dianggar menelan belanja sebanyak RM1.9 juta.
Beliau berkata SPR menimbang kemungkinan melantik pemerhati tempatan
dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika terdapat permohonan.
SPR pada masa sama meminta semua majikan sama ada daripada sektor
awam atau swasta agar memberi tempoh yang munasabah kepada pekerja
mereka yang ingin keluar mengundi.
“Di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan
yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh didenda tidak
lebih RM5,000 atau tidak lebih satu tahun penjara,” katanya.
Dipetik daripada sumber : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment