Wednesday, April 08, 2015
Tiada Cadangan Ganti BR1M Dengan Baucar Barangan
8 April 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan tidak bercadang menggantikan
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada bayaran tunai kepada kupon atau
baucar barang seperti Program Bantuan Khasiat Makanan (SNAP) di Amerika
Syarikat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad berkata ini kerana kerajaan telah berjanji bantuan berkenaan
diberi dalam bentuk tunai dan akan dinaikkan sehingga RM1,200 dalam masa
lima tahun sejak pelaksanaannya pada 2012.
“Sebab kedua kita mahu penerima dapat nilai yang tepat kerana apabila
ditukar kepada baucar barang, mereka tidak akan dapat nilai sepenuhnya
kerana peniaga akan ambil untung,” katanya ketika sesi soal jawab
persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor)
yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menukarkan baucar BR1M kepada
bentuk kupon atau baucar barang seperti program SNAP bagi memastikan
penerima menggunakan wang itu untuk tujuan sepatutnya.
Menjawab
soalan tambahan Irmohizam, Ahmad mengulangi pendirian kerajaan yang akan
menyenaraihitamkan penerima BR1M yang menipu dengan menuntut bantuan
itu sebanyak dua kali.
Katanya sehingga kini hanya 1,806 penerima daripada 6,776 orang yang
menuntut dua kali telah membayar balik dan bakinya akan disenarai hitam
untuk bantuan akan datang.
Ahmad menjelaskan bahawa bagi mengelak perkara tersebut berulang
kemungkinan tiada lagi baucar akan dikeluarkan dengan mengkreditkan
terus bayaran ke dalam akaun.
“Atau kita akan keluarkan baucar yang mempunyai ciri keselamatan tinggi bagi mengelak penipuan oleh penerima,” katanya.
Ahmad berkata pada tahun ini jumlah penerima BR1M ialah berjumlah 7,286,268 orang dengan nilai peruntukan RM5.2 bilion.
Dipetik daripada : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment