Monday, April 13, 2015

“Saya Bertanggungjawab Kepada Rakyat” Cerminkan Ketelusan Najib – Idris Haron

10 April 2015, Melaka : Penegasan ‘saya bertanggungjawab kepada rakyat’ yang berkali-kali diucapkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditemubual malam tadi mencerminkan ketelusan Perdana Menteri dalam menjaga amanah rakyat, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata penegasan itu, malah langkah Najib menjawab persoalan isu semasa dikemukakan rakyat dalam temubual itu mencerminkan sikap Najib yang sentiasa bertanggungjawab dalam menangani isu melibatkan rakyat.

Katanya jaminan Najib dalam temubual itu bahawa tiada ‘yang akan diselamatkan’ sekiranya berlaku kesalahan atau penyelewengan dalam isu 1MDB dan semuanya terbuka untuk disiasat pihak berkaitan adalah bukti jelas bahawa Najib sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan dalam pentadbirannya.

THK_7175

“Kita perlu sabar lihat dahulu, proses (siasatan 1MDB) itu perlukan masa tak perlu buat keputusan tergesa-gesa, kenapa kita perlu tergesa-gesa jika kita boleh dapat sesuatu jawapan yang memberikan penjelasan sepenuhnya hasil siasatan terperinci,” katanya di sini hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan asrama Sekolah Kebangsaan Kubu di sini yang menempatkan sembilan buah katil dua tingkat bagi kegunaan aktiviti pembelajaran tambahan hujung minggu pelajar sekolah itu.

Malam tadi, Najib menjawab persoalan isu semasa negara terutamanya yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam rancangan Soal Jawab yang diterbitkan stesen televisyen swasta TV3.

Idris berkata rakyat tidak sepatutnya melatah dengan pelbagai isu semasa yang bermain sekarang terutamanya di media sosial serta portal berita dalam talian, sebaliknya rakyat perlu meneliti dan mengkaji sedalamnya isu berkenaan sebelum membuat kesimpulan sendiri.

“Jangan kita melatah tak tentu arah, jolok sana jolok sini provokasi sana sini itu adalah sesuatu yang perlu kita elakkan kerana kesannya akan mendatangkan kesusahan kepada negara, pemimpin dan kita sendiri.

Pada masa negara menghadapi cabaran getir seperti keadaan ekonomi sekarang saya menyeru rakyat supaya sentiasa bersama pemimpin terutamanya perdana menteri kita (Najib) bagi membolehkan negara menghadapi cabaran yang mendatang ini dengan baik,” katanya.

Dieptik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment