Friday, April 10, 2015
Saya Tetap Hormati Tun Dr Mahathir – Najib
9 April 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata beliau tetap menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun bekas
pemimpin negara itu banyak melontarkan kritikan terhadapnya kebelakangan
ini.
Najib berkata beliau meneliti dan menimbang kewajaran setiap kritikan
Tun Dr Mahathir, namun berharap setiap kritikan itu dibuat dengan penuh
berhemah dan bertanggungjawab.
Dalam wawancara menerusi program Soal Jawab TV3 Edisi Khas bersama
Perdana Menteri yang disiarkan malam ini, Najib berkata bekas perdana
menteri itu pernah meminta beliau melakukan beberapa perkara termasuk
membina jambatan bengkok untuk menggantikan Tambak Johor.
“Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai
perbincangan antara dua individu…agak sihat kalau ada perbezaan pendapat
tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat
dan parti,” jelasnya.
Ditanya adakah kritikan berterusan Dr Mahathir memberi kesan kepada
pentadbirannya, Najib berkata beliau akan terus bersikap terbuka dan
menimbang sebarang kritikan serta bersedia melakukan penambahbaikan.
Meskipun dihujani pelbagai kritikan oleh bekas perdana menteri itu,
Najib berkata pandangannya terhadap Dr Mahathir tidak berubah.
“Saya tidak akan apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi saya
ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat
dan parti.
“Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan
tentukan. Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan
saya kepada rakyat dan parti,” katanya.
Bagaimanapun, kata Najib pendirian itu tidak bererti beliau tidak menghormati mana-mana individu.
Malah, kata Najib beliau menunjukkan tanda hormat dengan berbincang
dengan Dr Mahathir walaupun beliau adalah seorang perdana menteri.
“Tapi macam mana pun bila kita bincang, saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment