Friday, April 10, 2015
Saya Terbuka Kepada Kritikan – Najib
9 April 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata beliau terbuka kepada sebarang kritikan daripada mana-mana pihak
terhadap kepimpinannya.
Namun, katanya, kritikan itu seharusnya dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab.
Beliau berkata sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, beliau akan
mengutamakan kepentingan rakyat dan parti itu dalam membuat sesuatu
keputusan.
“Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Apapun
pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada
rakyat dan kepada parti.
“Itu saya nak tegaskan,” kata beliau semasa diwawancara dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam ini.
Najib ditanya oleh hos Hamdan Ahmir mengenai kritikan bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinannya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Najib berkata beliau tetap menghormati Dr Mahathir seperti mana beliau menghormati rakyat Malaysia yang lain.
Perdana Menteri turut menafikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000
sebulan adalah ‘handout’.
Sebaliknya, Najib menjelaskan ia adalah satu bentuk jaringan keselamatan sosial untuk golongan itu.
Beliau berkata pemberian BR1M yang dicadangkan oleh Jawatankuasa
Dasar Fiskal itu dapat memberi timbal balas kepada golongan
berpendapatan rendah berikutan pengurangan dan pemansuhan subsidi.
Menurutnya banyak negara juga mempunyai sistem jaringan keselamatan
sosial dalam pelbagai kaedah bagi membela nasib rakyat mereka.
Mengenai Dr Mahathir tidak bersetuju Najib memberi BR1M dan mahukan
Najib meneruskan projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor,
perdana menteri menjelaskan beliau telah membawa perkara-perkara itu
kepada mesyuarat Kabinet.
“Kabinet telah berbincang mengenainya dan membuat keputusan,” kata
Najib sambil menjelaskan keputusan-keputusan itu adalah keputusan
Kabinet dan bukannya keputusan beliau sendiri.
Jambatan bengkok merujuk kepada projek yang diluluskan di bawah
pentadbiran Dr Mahathir bagi menggantikan Tambak Johor yang
menghubungkan Johor dan Singapura tetapi ia dibatalkan semasa
pentadbiran Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata perkara-perkara itu sememangnya perlu dibincangkan oleh Kabinet bagi mendapatkan persetujuan.
“Tapi macam mana pun, bila kita bincang, saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri.
“Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai
perbincangan antara dua individu… agak sihat kalau ada perbezaan
pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada
rakyat dan parti,” kata beliau.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment