Wednesday, April 08, 2015
Tiada Kompromi Dalam Isu Ancaman Militan – Wan Abdul Hakim
8 April 2015, Kuala Lumpur : Keputusan kerajaan memperkenalkan Akta
Pencegahan Keganasan (POTA) membuktikan kerajaan serius menangani
ancaman militan yang semakin menular yang kini menjadi masalah global,
ujar Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Wan Abdul Hakim Tan Sri
Wan Mokhtar.
“Perkara yang menyentuh keselamatan negara adalah bukan perkara yang
boleh dikompromi, mahu atau tidak, kerajaan perlu bertindak proaktif
jika ia melibatkan hal ehwal keamanan dan kemakmuran negara.
“Undang-undang yang ada sekarang terdapat ruang-ruang yang mampu
dimanipulasi oleh sesetengah pihak dari dikuatkuasakan jika melibatkan
unsur-unsur aktiviti keganasan dari luar. Maka, kewujudan POTA adalah
tepat pada masanya walaupun mendapat kritikan dan bangkangan daripada
pihak pembangkang.
“Jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, yang
mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan negara, pasti pembangkang akan
tuding jari kepada kerajaan. Apakah mereka mahu ‘sudah terhantuk baru
terngadah’?,” tegas beliau kepada UMNO-Online.
Rang Undang-Undang POTA 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat
pada 2.25 pagi 7 April baru-baru ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam.
POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan
dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79
bersetuju dan 60 ahli parlimen daripada pakatan pembangkang tidak
bersetuju untuk meluluskan.
Selain itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Air
Putih, Kemaman itu lagi, kerjasama serta kepakaran yang padu antara
agensi dan jabatan yang berkaitan antaranya seperti Jabatan Imigresen,
Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
amat perlu bagi memastikan ia benar-benar berkesan.
“Ini ditambah lagi dengan cabaran yang semakin hebat sekarang ini,
dengan zaman maklumat semuanya di hujung jari, dengan media sosialnya
yang cepat menyebarkan sesuatu info, inilah cabaran yang amat hebat bagi
menangani unsur-unsur ekstremis dengan cara lebih serius,” jelas
beliau.
Seterusnya beliau menambah di dalam Islam juga menekankan pentingnya
pentadbiran negara yang berasaskan Maqasid Syariah, yang merangkumi lima
prinsip iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga nyawa, menjaga harta
dan menjaga keturunan.
“Bukankah usaha kerajaan ini selari dengan konsep Maqasid Syariah itu?,” soal beliau.
Akta baharu yang khusus menangani masalah berkaitan keganasan itu
memberi kuasa eksekutif kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang
keanggotaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. POTA tidak memberi
kuasa kepada menteri untuk melaksanakannya dan kerajaan memberi jaminan
tiada campur tangan dengan kuasa politik.
Dipetik daripada sumber : Media UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment