Wednesday, April 08, 2015
Solidariti UMNO Kuat Dalam Menolak Tohmahan Dan Tuduhan Jahat Pembangkang
8 April 2015, Kuala Lumpur : Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan
yakin dan percaya bahawa solidariti UMNO di peringkat cawangan dan
bahagian terus utuh dan tidak menjejaskan perpaduan dalam parti walaupun
diserang oleh pelbagai pihak kerana ekonomi negara dalam keadaan baik,
politik negara stabil dan segala hal-hal keselamatan terjamin.
Oleh kerana itu, katanya, segala tuduhan dan tohmahan khususnya dari
pelbagai pihak khususnya pakatan pembangkang adalah cubaan yang boleh
dianggap sebagai asam garam dalam politik.
“Ia bukanlah benda yang perlu dirunsingkan sangat dan kita berharap
segala perkara ini akan stabil. Mereka hanya mahu mengambil kesempatan
untuk mengelirukan rakyat, cuba memporak-perandakan perpaduan dan
keutuhan akar umbi UMNO di saat pakatan mereka sendiri berada dalam
persimpangan dalam menangani beberapa isu yang timbul sesama mereka,”
ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Dalam perkembangan lain, beliau mengakui bahawa salah satu isu yang
hangat diperkatakan sekarang ialah mengenai Cukai Barangan Perkhidmatan
atau GST.
“GST ini baru seminggu, ia adalah perubahan cukai yang terbesar dalam
sejarah Malaysia, oleh kerana itu dalam masa seminggu ini tidak mungkin
boleh stabil. Menurut pihak Kastam, ia akan mengambil masa selama enam
bulan untuk stabil namun saya meminta agar tempoh enam bulan itu dapat
dikurangkan kepada 3 hingga 4 bulan sahaja.
“Maksud stabil ialah apabila para peniaga mula kembali kepada etika
masing-masing, tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan, dan
mengikut SOP GST yang sebenar iaitu menolak elemen SST, 5 peratus, 6
peratus terlebih dahulu sebelum mengenakan 6 peratus GST.
“Apa yang terjadi sekarang ialah kenaikan harga barangan kerana
mereka tidak tolak 5 hingga 10 peratus SST sebaliknya ditambah pula
dengan dengan 6 peratus GST,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri
Kewangan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment