Thursday, April 02, 2015
UMNO Pulau Pinang Bersedia, Anak Tempatan Permatang Pauh Jadi Pilihan
1 April 2015, Permatang Pauh : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri
Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, UMNO dan Barisan
Nasional (BN) Pulau Pinang akan mempertingkat gerak kerja persiapan bagi
menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan ditetapkan
tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia tidak lama lagi.
Ianya susulan daripada kerusi Parlimen tersebut kosong berikutan
Petisyen Pengampunan DiRaja yang dikemukakan oleh keluarga Datuk Seri
Anwar Ibrahim ditolak oleh Lembaga Pengampunan.
“UMNO dan BN Pulau Pinang telah memulakan persiapan untuk menghadapi
kemungkinan PRK di Permatang Pauh apabila Mahkamah Persekutuan membuat
keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar
bersalah dan dihukum penjara kerana meliwat.
“Kita telah berbincang dengan UMNO bahagian Permatang Pauh bagi
mengenalpasti beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon di PRK
Permatang Pauh ini. Nama-nama tersebut adalah untuk pertimbangan pucuk
pimpinan BN namun perkara ini belum diminta dikemukakan secara rasmi
lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online di sini.
Mengulas lebih lanjut berkenaan senarai calon yang mungkin
diketengahkan Zainal berkata, calon-calon yang disenarai pendek adalah
anak-anak Permatang Pauh dan tinggal di kawasan Permatang Pauh juga.
“Mereka ini berkelayakan dari segi akademik dan adalah muka-muka baru
yang sering berdamping dengan masyarakat setempat. Kita sedar
pertembungan di Permatang Pauh adalah suatu “uphill battle” memandangkan
Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR dan kedudukan UMNO/BN boleh
dianggap sebagai “underdog”.
“Namun begitu kita bersedia untuk memberikan tentangan yang hebat.
Kita yakin dan percaya pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan membuat
pilihan yang terbaik dan melakukan suatu perubahan setelah 17 tahun
diwakili ahli parlimen daripada PKR.
“UMNO Pulau Pinang juga berharap semua pihak perlu menerima dan
menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Rayuan ke atas
Petisyen Pengampunan DiRaja yang dikemukakan oleh pihak keluarga Anwar.
Perkara ini telah diadili seadil-adilnya,” ujarnya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment