Thursday, April 02, 2015

Pakatan Pembangkang Kini Jadi Bahan Lawak Jenaka Politik – Dr Najmil

2 April 2015, Kuala Lumpur : Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menyifatkan kemelut perpecahan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang hari ini umpama jenaka politik yang menggelikan hati untuk dipertontonkan kepada rakyat di negara ini.

Menurut beliau, pelbagai kenyataan hentam menghentam sesama sendiri, khianat-mengkhianati serta tikam belakang menyerlahkan lagi sikap Pak Pandir kepimpinan parti pembangkang dalam senario politik negara hari ini.

“Agak lucu apabila kita melihat tiga buah parti di dalam pembangkang tidak habis berbalah dan bercakaran sesama sendiri. Ianya umpama filem the three stooges yang mana akhirnya rakyat melihat ianya seolah-olah drama politik yang melucukan.

“Sedangkan selama ini pembangkang seringkali mendabik dada kononnya mereka mempunyai ikatan persefahaman yang kukuh sedangkan apa yang berlaku ada sebaliknya.

“Malah episod halau menghalau antara mereka sendiri juga memperlihatkan ketidakmatangan kepimpinan yang ada di dalam pembangkang bagi menangani sebarang krisis dan masalah yang timbul di antara mereka,” ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

20141119_191729

Hari ini jelas kecelaruan pendirian pembangkang apabila dalam isu hudud yang dibawa oleh Pas apabila tidak ada sebarang pendirian rasmi yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

“Kita boleh lihat di mana parti pembangkang di peringkat negeri terpaksa mengambil keputusan masing-masing berdasarkan kepentingan politik mereka di kawasan atau di negeri masing-masing.

“Contohnya di Sabah, PKR dan Dap membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas ekoran kedegilan Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

“Tetapi di Selangor pula berlainan keputusannya kerana jika PKR Selangor memutuskan hubungan dengan Pas maka kedudukan PKR di dalam Selangor akan terjejas ekoran kerusi yang dimiliki oleh Pas lebib berbanding kerusi yang diperolehi oleh PKR itu sendiri,” jelasnya.

Justeru itu kata beliau lagi, senario politik pakatan pembangkang hari ini jelas memperlihatkan perpecahan yang sudah retak seribu di mana keputusan berdasarkan kepentingan politik kepartian masing-masing.

“Selama ini pakatan pembangkang  mendakwa mereka lebih baik dari UMNO dan BN untuk mentadbir negara.

“Tetapi malangnya apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa pakatan pembangkang tidak lebih dari sebuah pakatan lawak jenaka sebagai hiburan dunia politik yang kita tidak boleh bergantung harapan kepada mereka untuk mentadbir negara,” akhirinya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment