Wednesday, July 01, 2015
Greece Menuju Negara Bankrap...Inilah Bahayanya
30 Jun 2015, Athens : Penduduk Greece, semalam bingung selepas mereka tidak
boleh mengeluarkan wang lebih banyak melalui mesin pengeluaran wang
automatik (ATM), berbanding warga asing yang berada di negara ini.
Mereka hanya dibenarkan mengeluarkan wang sebanyak 60 euro (RM251)
sehari, jumlah yang terlalu sedikit berbanding keperluan mereka, sekali
gus mendorong rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan membantah langkah
kerajaan itu.
Pakar ekonomi melihat langkah tersebut bertujuan mengatasi ‘masalah
kecairan’, namun bagi rakyat, mereka merasakan seperti ‘dirompak’.
“Mengapa saya tidak boleh mengeluarkan wang saya sendiri? Mungkin
saya perlu pergi ke cawangan bank lain,’’ keluh seorang warga emas,
Dimitris Togias, 70, seperti lapor Mail Online.
Selain menyekat pengeluaran wang dari mesin ATM, kerajaan turut menutup
bank dan bursa saham, dipercayai untuk tempoh seminggu, langkah yang ada
kaitan dengan perjanjian bagi menyelamatkan ekonomi yang ditawarkan
Brussels, yang akan tamat tempoh hari ini.
Sekiranya gagal membayar semula pinjaman berjumlah 1.6 bilion euro
(RM6.7 bilion) kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Greece kini
hampir menuju menjadi sebuah negara bankrap, sekali gus akan menyebabkan
negara berkenaan tersingkir daripada menjadi anggota Kesatuan Eropah.
Lebih memeritkan, kerajaan turut mengenakan sekatan mengisi petrol iaitu hanya sebanyak 20 euro (RM83) bagi setiap kenderaan.
Keadaan ‘kelam kabut’ itu mendorong rakyat Greece mula menyimpan
bekalan makanan selepas pasar raya melaporkan bekalan makanan akan
kehabisan.
“Kita seolah-olah sedang berperang,’’ kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Kebimbangan dalam kalangan penduduk Greece berhubung keadaan ekonomi
negara memuncak pada Jumaat lalu selepas kegagalan rundingan antara
Greece dan beberapa negara Kesatuan Eropah tentang pakej baharu
menyelamatkan ekonomi Greece berjumlah 12 bilion euro (RM50 bilion).
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment