Sunday, July 05, 2015
Pelawat Mesti Patuhi Kod Etika Pakaian - MinDef
3 Julai 2015, Kuala Lumpur : Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan kod
etika berpakaian untuk memasuki premis kementerian itu tidak hanya
dikuatkuasakan terhadap wartawan malah melibatkan semua pelawat.
Menurut kementerian tersebut, dalam menguatkuasakan etika berpakaian,
semua pelawat diwajibkan untuk memakai pakaian sopan dan menutup aurat.
Antara pakaian yang dibenarkan adalah baju berkolar dan berlengan, seluar panjang dan skirt di bawah paras lutut.
"Jika pelawat tidak mematuhi kod etika pemakaian yang sudah ditetapkan,
pelawat tidak akan dibenarkan untuk memasuki premis kementerian
tersebut," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi
Korporat kementerian itu pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan akhbar The Star yang
dibangkitkan salah seorang wartawannya semasa menghadiri Majlis
Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia pada
Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, wartawan tersebut telah memakai skirt di
atas paras lutut dan ia jelas melanggar etika berpakaian yang
ditetapkan.
Malah, kementerian tersebut turut mempertahankan tindakan petugas di
kaunter Balai Pengawal Kementerian Pertahanan yang tidak membenarkan
wartawan tersebut untuk memasuki premis kementerian.
"Petugas itu hanya menjalankan tugas sebagaimana yang telah diarahkan.
Malahan gambar tentang etika berpakaian pelawat ke kementerian ini turut
dipamerkan di balai pengawal tersebut," katanya.
Kementerian Pertahan turut menegaskan isu etika pakaian yang
dibangkitkan itu juga bukan perkara baharu kerana peraturan tersebut
sudah dikuatkuasakan sekian lama.
"Justeru, kami meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk pengamal
media untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment