Thursday, February 11, 2016
83,777 Ibu Tunggal Berdaftar Dengan JWP Sehingga Kini – Azizah
ALOR SETAR : Seramai 83,775 ibu tunggal telah
mendaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sehingga kini, namun
angka itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah ibu tunggal di
seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk
Azizah Mohd Dun berkata statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia
2010 mendapati bilangan penduduk wanita di Malaysia adalah seramai 13.9
juta orang dengan 235,240 orang daripadanya ibu tunggal.
“Daripada 235,240 orang, hanya 83,775 ibu tunggal berdaftar dengan
JPW… ramai tidak berdaftar dengan JPW kerana tidak tahu fungsinya, tidak
mendapat pendedahan daripada persatuan ibu tunggal dan sibuk kerana
perlu menyara diri dan keluarga.
“Jadi, kita mengambil pendekatan dengan turun padang berjumpa dengan
ibu tunggal di kawasan terpencil selain mengadakan program pendedahan
supaya tiada ibu tunggal yang ketinggalan. Apa yang kita sediakan bukan
hanya dari segi kewangan, namun lebih bersifat ilmu yang membolehkan
mereka berdikari,” katanya hari ini.
Terdahulu, Azizah merasmikan program Jelajah Pelan Pemerkasaan Ibu
Tunggal Zon Utara yang bertujuan memberi perhatian dan sokongan dalam
pelbagai bentuk termasuk ekonomi, sosial dan psikologi kepada golongan
ibu tunggal.
Beliau berkata pelan tindakan itu merangkumi 19 langkah strategik
yang berasaskan tiga teras utama iaitu memperkasa ekonomi ibu tunggal,
meningkatkan kesejahteraan sosial ibu tunggal dan meningkatkan
perlaksanaan penyelidikan dan penyelarasan pembangunan ibu tunggal.
Pelan tindakan itu dapat memberi maklumat kepada pihak kementerian
tentang apa yang diperlukan golongan itu bagi memudahkan kita mengatur
pelbagai program yang boleh memanfaatkan mereka,” katanya.
Azizah berkata Kabinet juga bersetuju untuk memperluas definisi ibu
tunggal dengan turut melibatkan wanita yang menjadi ketua isi rumah
dalam perkahwinan, balu atau bercerai dan mempunyai anak yang belum berkahwin;
wanita yang mempunyai suami yang tidak sihat dan tidak berkemampuan
untuk bekerja dan wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai
anak.
Ibu tunggal yang mahu mendaftarkan diri dengan JPW boleh berbuat demikian di www.mywanita.gov.my.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment