Thursday, February 11, 2016
TPM Mahu Usaha Dakwah Melalui Internet Diperluas
PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menggesa supaya penyebaran dan usaha dakwah melalui internet
diperluaskan seiring penggunaan media tradisional.
Beliau berkata penyampaian dakwah melalui internet merentasi sempadan serta mampu menyasarkan segenap lapisan bangsa.
"Melalui kaedah ini, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat
dicurahkan mengikut cita rasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam,"
katanya dalam kenyataan yang diedarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa
Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.
Mesyuarat lebih dua jam yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu
dikenal pasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat,
dan peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa tidak
berautoriti menyebabkan sesetengah isu mudah diputar belit pihak tidak
bertanggungjawab.
"Kita dapati sebahagian isu-isu bersifat terpencil sering kali
diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan 'pembunuhan
karakter' terhadap institusi agama, ketua jabatan agama, para mufti dan
juga ilmuan Islam," katanya.
Ahmad Zahid berkata walaupun usaha yang diambil pihak berkuasa agama
dilihat dapat mengawal arus berita palsu, namun dalam masa yang sama
berita yang berunsur negatif masih tetap dihebahkan.
Ini katanya, merupakan cabaran yang perlu diambil para pendakwah untuk
berdakwah bagi mengikis sikap tersebut dalam kalangan masyarakat sama
ada melalui media massa, elektronik mahupun media sosial.
Ahmad Zahid turut menekankan penggunaan media baharu dalam Islam harus
lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan
kehidupan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dalam pada itu berkata isu
liberalisme yang menyemarakkan penularan ajaran sesat seperti Syiah dan
Qadiani perlu disekat bagi menghalang pengembangan pemikiran dan fahaman
yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Ahmad Zahid berkata, fahaman Syiah di negara ini masih berleluasa dengan
kemasukan kumpulan tertentu yang menjadikan para pelajar sebagai
golongan sasar, namun menegaskan bahawa pemantauan berterusan terhadap
aktiviti berkaitan penyebaran fahaman itu tetap terus dipertingkat dalam
mengekang penularannya.
Kerajaan melalui Jakim juga mengambil perhatian khusus dalam menyekat
pengaruh dan pengembangan ideologi Daesh yang dilihat membimbangkan
dengan melaksanakan siri penjelasan bersama-sama agensi agama
negeri-negeri, katanya.
"Kerajaan mengambil serius perkara ini dan segala usaha berterusan
secara bersepadu antara semua agensi keselamatan negara dipertingkat
bagi memastikan gerakan militan tidak bertapak di negara ini," katanya.
MPI yang dianggotai tokoh dari pelbagai latar belakang meliputi ahli
agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan
berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam
memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan
negara menurut landasan syarak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment