Thursday, February 11, 2016
Adam Corrie Jelajah Masjid Cari Dana Bantu Mualaf Ke Mekah
PETALING JAYA : Pelakon Adam Corrie dan isterinya Fazema Mohd. Fuad
terpaksa mengadakan program dan forum dari masjid ke masjid sebagai
alternatif untuk mengumpul dana dalam usaha membawa golongan mualaf
menunaikan umrah.
Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 48, berkata, perkara
tersebut dilakukan untuk mengumpul sebanyak RM380,000 bagi kos
perbelanjaan 40 orang mualaf untuk berangkat ke Mekah pada 8 Mac depan.
"Alhamdulillah kita sudah mula projek ini sejak bulan Jun tahun lalu dan
setakat ini kami sudah kumpul RM100,000 menerusi sumbangan orang
perseorangan dan wang yang di kumpul dari tabung dana yang diedar
selepas forum-forum di beberapa buah masjid.
"Tapi itulah, memang belum mencukupi lagi tapi saya masih ikhtiar dan
yakin bahawa Allah akan beri rezeki itu bila tiba masanya nanti,"
ujarnya kepada media.
Katanya, seperti tahun sebelum ini, ujian utama mereka apabila beberapa
pihak yang pada awalnya bersedia untuk menghulurkan penajaan menarik
diri dan gagal dihubungi.
Perkara tersebut membuatkan kesihatannya dan isteri terjejas memikirkan bagaimana mencari jalan mendapatkan dana tersebut.
"Mula-mula memang ramai yang berjanji ingin bantu daripada segi
sumbangan dana dan bila tiba masanya saya cuba hubungi gagal dan mereka
matikan talian telefon.
"Ada juga yang cuba mengelak apabila saya bertanya semula tentang janji
mereka untuk sumbangan itu. Saya pun tidak mahu memaksa mereka beri
sumbangan kerana biarlah ia dibuat secara ikhlas dan untuk ibadah.
"Saya dan isteri pun sekarang demam kerana sejak memulakan program ini
kami tidak cukup tidur kerana fikirkan tentang dana yang perlu dicari,"
ujarnya.
Selain itu, 40 orang jemaah yang bakal mengikut rombongan umrah tersebut
terdiri daripada mualaf yang melepasi sesi temuduga yang dianjurkan.
Katanya, kali ini dia lebih mementingkan tahap ilmu agama individu tersebut sebelum membawa mereka menunaikan umrah.
"Saya adakan temuduga bagi mencari 40 orang jemaah ini kerana saya mahu
mereka semua sudah boleh sembahyang dan sudah menghafaz beberapa surah.
"Ini kerana tujuan utama membawa mereka adalah untuk menguatkan akidah dan bukan untuk melancong," ujarnya.
Sementara itu, Adam berkata, dia juga bakal mengadakan satu sidang media
berkaitan program tersebut pada 13 Februari ini di Warisan Baiduri
Dewan Perdana Indera, Taman Melewar Indah, Gombak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment