Thursday, February 11, 2016
Ahmad Bashah Akan Turun Padang Beri Penjelasan Perubahan Dalam UMNO Kedah
ALOR SETAR : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah
yang baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau akan turun
ke akar umbi bagi memberi penjelasan tentang perubahan dalam kepimpinan
parti di negeri ini.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata beliau
bersama timbalannya Datuk Seri Mahdzir Khalid akan turun padang
bersama-sama untuk bertemu dengan pemimpin dan anggota UMNO untuk
memberi penjelasan terperinci dalam usaha memulihkan kembali kepercayaan
mereka terhadap parti.
Beliau berkata perubahan yang berlaku itu merupakan kehendak
daripada 14 Ketua UMNO Bahagian dan sayap parti itu yang mahukan
perubahan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan
datang.
“Kami akan turun bagi memberi penjelasan kenapa perlunya perubahan
terhadap kepimpinan dalam UMNO ini. Kita tahu bila perubahan yang dibuat
baru-baru ini menyebabkan ramai dalam kalangan ahli terutamanya Pemuda
UMNO marah.
“Mungkin proses ini akan mengambil masa lebih sebulan untuk
menyelesaikan masalah ini dan saya difahamkan ada beberapa Ketua UMNO
Bahagian telah mengambil pendekatan dengan menjelaskan isu tersebut
kepada ahlinya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul
Aman di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama
Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam masa terdekat bagi membincang dan
mengatur jadual bertemu anggota parti di peringkat akar umbi.
“Saya difahamkan ramai ahli UMNO di bahagian itu..telah faham dan
menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO dengan baik,”
katanya.
Sementara itu, beliau yakin gandingannya dengan Mahdzir dilihat
mampu membawa perubahan dalam UMNO negeri berdasarkan pengalaman mereka
sebelum ini yang pernah memegang jawatan tertinggi parti itu.
“Ketika Mahdzir menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, saya
memegang jawatan Setiausaha. Ini kepercayaan oleh Presiden parti (Datuk
Seri Najib Tun Razak) yang mahu memastikan jentera UMNO dan BN negeri
lebih bersedia menghadapi PRU,” katanya.
Mengenai senarai Exco kerajaan negeri, Ahmad Bashah berkata beliau
sedang menunggu tarikh yang diberikan oleh Pejabat Tuanku Sultan Kedah
untuk menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mempersembahkan
senarai exco yang dicadangkan itu.
“Bila-bila masa pihak Istana beri tarikh saya akan menghadap. Kalau
angkat sumpah dah selesai kita akan adakan mesyuarat (Exco) secepat
mungkin,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment