Thursday, February 11, 2016

Sektor Pelancongan Penyelamat Utama Ekonomi Negara – Nazri

http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/NAZRI_AZIZ_PARLIAMENT_20150610_TMIKAMAL_ARIFFIN_01.jpg
KOTA KINABALU : Sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara walaupun ketika berlakunya ketidaktentuan global, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata ekopelancongan Malaysia adalah tarikan utama pelancong terutamanya dari Eropah, Jepun, Korea dan China.

Katanya kemudahan tanpa visa yang diberikan kepada warga China yang mengunjungi Malaysia juga dijangka menarik lapan juta pengunjung dan pendapatan kira-kira RM22 bilion setahun dengan purata seorang pengunjung membelanjakan RM3,500.

“Pelancongan adalah penyelamat ekonomi Malaysia… kemudahan tanpa visa yang ditawarkan kepada pelbagai negara dunia ketiga adalah cara bagi membina semula ekonomi negara,”katanya semasa melancarkan sesi perbincangan dan interaksi dengan industri pelancongan Sabah anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang terbabit dalam industri pelancongan di Sabah supaya mengambil kesempatan daripada kemudahan tanpa visa untuk warga asing terutamanya rakyat China bagi meningkatkan ekonomi negeri ini.

Selain itu, mereka boleh menggalakkan lokasi strategik Kota Kinabalu sebagai hab atau ‘laluan terbang’ Borneo kerana ia berdekatan dengan China, Hong Kong dan Jepun.

Mohamed Nazri berkata walaupun berdepan cabaran dalam segmen pelancong, Sabah berjaya kekal di barisan hadapan industri itu.

“Sabah telah memasarkan negerinya dengan baik di luar negara dan ini dibuktikan oleh pertanyaan mengenai Borneo semasa lawatan saya ke World Travel Mart, Asia Travel Market dan ITB (Pameran Perdagangan Kembara Antarabangsa) Berlin.

“Semasa saya berada di Amsterdam dan Madrid, mereka yang saya temui di pameran-pameran pelancongan juga bertanyakan tentang monyet proboscis dan gajah pygmy Borneo yang terkenal di Sabah,”katanya.

Mohamed Nazri turut menekankan pentingnya pelancongan pengalaman menerusi program inap desa bagi masyarakat tempatan di Sabah selain cabaran sektor itu dalam menyelenggara struktur lama yang mempunyai nilai-nilai sejarah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Nazri menyatakan pada 2011, China mendahului senarai ketibaan pelancong ke Sabah dengan 228,910 orang diikuti oleh Indonesia (lebih 183,000 orang), Korea (kira-kira 121,170 orang), Brunei (lebih 79,140 orang) dan Filipina (lebih 40,500 orang) dengan majoriti pelancong berkunjung untuk ekopelancongan.

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk mengadakan promosi bersama dengan Singapore Airlines (SIA) di Berlin pada Mac depan menerusi satu memorandum persefahaman bagi melancarkan penerbangan ke bandar-bandar termasuk Kota Kinabalu untuk meningkatkan bilangan pelancong dari negara-negara Eropah seperti Sepanyol, Portugal dan Itali.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh sektor pelancongan negeri itu ialah masalah kebersihan di jalan raya, pantai dan sungai.

“Untuk menambah nilai kepada sektor pelancongan, saya menyeru kepada pihak pelancongan dan hospitaliti supaya menaikkan taraf perkhidmatan pekerja untuk memastikan kedudukan Sabah, sebagai negeri yang menerima pengunjung ulangan tertinggi di negara ini, berterusan dan kekal berdaya saing di peringkat serantau dan global,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Masidi yakin hospitaliti, keterbukaan dan sikap bersahaja rakyat Sabah menjadikan negeri ini menonjol berbanding negeri lain dan terus menarik pengunjung setiap tahun.

“Ada 42 penerbangan sewa khas dari China pada cuti Tahun Baharu Cina ke Sabah – inilah caranya kami sentiasa bangkit dalam menangani cabaran global,”katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment