
Thursday, February 11, 2016
Kemasukan 1.5 Juta Pekerja Bangladesh Kerana Permintaan Industri – Zahid

PUTRAJAYA : Kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh bukannya
kehendak kerajaan tetapi dibuat atas permintaan industri bagi sektor
yang dibenarkan, persatuan dan dewan perniagaan, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menjelaskan bahawa kemasukan pekerja Bangladesh itu tidak akan
dibuat secara serentak, sebaliknya dilaksanakan dalam tempoh tiga
hingga lima tahun.
“Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan meluas di
dalam media sebenarnya merupakan jumlah mereka yang berdaftar dengan
kerajaan Bangladesh untuk tujuan pekerjaan,” katanya dalam sidang media
di sini, Khamis.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa
Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia, yang
dibubarkan dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia.
Ahmad
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pekerja Bangladesh yang
dibawa masuk perlu mematuhi beberapa syarat seperti harus dilatih dalam
bidang berkenaan sebelum bekerja di negara ini.
Selain itu, pekerja terbabit perlu dilatih tentang silang budaya bagi
memahami budaya Malaysia dan pendedahan dari aspek perundangan dan
tataetika kehidupan di negara ini.
“Mereka juga akan disaring daripada aspek jenayah serta kesihatan sebelum kebenaran membawa masuk diberikan,” katanya.
Menurutnya penguatkuasaan terhadap pekerja asing termasuk Bangladesh
turut dilakukan bagi memastikan mereka yang tinggal melebihi tempoh
dibenarkan di Malaysia, dikenakan tindakan seperti dihantar pulang.
Ahmad Zahid berkata perincian perjanjian Malaysia dan Bangladesh akan
dimuktamadkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerajaan
Bangladesh di Dhaka pada 18 Februari sebelum dibentangkan kepada Kabinet
untuk diluluskan.
Kemasukan pekerja Bangladesh itu dilaksanakan melalui permohonan atas
talian oleh pihak industri kepada Bahagian Pekerja Asing Kementerian
Dalam Negeri, katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan kadar levi baharu
pekerja asing yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Februari lepas,
ditangguhkan sementara sehingga pertemuan antara Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri dengan pemain industri dilakukan.
“Kabinet memutuskan supaya pertemuan KSU KDN dengan dewan perniagaan,
persatuan industri dan NGO (badan bukan kerajaan) terlibat dilakukan
sebelum 20 Februari ini. Sehingga itu, pelaksanaan kadar baharu itu
ditangguhkan sementara,” katanya.
Kadar baharu levi itu melibatkan sektor pembuatan, pembinaan dan
perkhidmatan yang dikenakan bayaran RM2,500 seorang dan mereka yang
bekerja di sektor ladang dan pertanian dikenakan RM1,500 seorang.
Keputusan pengenalan kadar levi baharu itu dibuat seiring pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengubahsuaian Bajet 2016
yang menyentuh mengenai penyusunan semula kadar levi pekerja asing ini
pada 28 Januari lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment