Monday, February 01, 2016
Anggota UMNO Diminta Tarik Lebih Ramai Pengundi Muda
BERA : Pemimpin dan anggota UMNO diingatkan agar tidak terus
berasa selesa dengan politik masa kini, sebaliknya perlu berusaha keras
mengukuhkan parti dengan menarik sokongan rakyat terutama dalam
kalangan generasi muda.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata
jentera parti perlu melipatgandakan usaha mengadakan penerangan, ceramah
dan mendaftar seberapa ramai pengundi baharu bagi memastikan Barisan
Nasional (BN) terus memerintah negara ini.
“Jangan apabila tiba waktu pilihan raya, baru sibuk hendak mendaftar
pemilih. Saya mahukan setiap anggota, pemimpin akar umbi supaya peka dan
turun padang bagi mendaftar mereka yang cukup umur sebagai pemilih dan
anggota baharu.
“Pemuda, Wanita dan Puteri perlu menggalas peranan ini supaya lebih
ramai golongan muda mahupun pengundi atas pagar dapat didaftarkan
sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan
perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Bera, di sini hari
ini.
Pada masa sama, beliau meminta pemimpin di peringkat cawangan
mengadakan kerjasama erat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) supaya projek yang memberi kepentingan kepada rakyat
dapat dikenal pasti dan dilaksanakan.
“Walaupun ekonomi negara sedikit terjejas, kerajaan tidak
mengurangkan pembangunan untuk rakyat, malah projek yang dirancang
sebelum ini akan tetap dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment