Monday, February 01, 2016
Rela Boleh Jadi ‘Mata dan Telinga’ Pasukan Keselamatan Memerangi Ancaman Daesh, Jenayah – TPM
SIBU : Anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)
boleh menjadi “mata dan telinga” pasukan keselamatan negara ini dalam
menentang ancaman Daesh dan jenayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ini kerana
pasukan itu mempunyai anggota di seluruh negara, termasuk di kampung dan
penempatan yang jauh dari bandar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-44
RELA peringkat kebangsaan di Dataran Perbandaran Sibu 2 di sini hari
ini.
“Di Sarawak sahaja, RELA mempunyai 332,818 anggota dan merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sudah tentu kewujudan mereka sangat membantu Polis dan pasukan
tentera dalam manangani masalah moden (ancaman Daesh) ini, yang sedang
dihadapi negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, RELA kini dianggap sebagai barisan kedua dalam mempertahankan negara.
Pada majlis itu, beliau juga memberi jaminan kepada anggota RELA
bahawa kerajaan akan terus memberi bantuan untuk membolehkan mereka
menunaikan tanggungjawab dengan berkesan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri
Adenan Satem, yang turut hadir pada majlis itu, kerana bersetuju
menyediakan peruntukan RM4 juta bagi membantu RELA.
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Ahmad Zahid berkata
beliau berharap semua anggota RELA akan terus memberi sokongan padu
kepada kerajaan negeri.
“Ketua Menteri telah menunjukkan bahawa beliau amat menyenangi
pergerakan ini. Marilah kita memberi sokongan penuh kepada beliau untuk
menerajui negeri ini sekali lagi kerana beliau telah mempamerkan
prestasi yang cemerlang,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Adenan berkata negara sedang berdepan
dengan ancaman baharu dan lebih menggerunkan daripada militan Daesh.
“Mereka menyalahgunakan agama Islam dan menggunakannya mengikut
sesuka hati mereka untuk melakukan jenayah kejam seperti membunuh
manusia yang tidak bersalah serta melakukan serangan bom bunuh diri.
“Saya berharap RELA di seluruh negara boleh membantu memerangi mereka,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak boleh ada sebarang kompromi dalam menentang pengganas moden ini.
Kira-kira 10,000 anggota RELA dari 33 daerah di negeri ini menyertai sambutan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment